PRN Melaka: 'Saya tak kacau Datuk Zahid' - Anwar

HANG TUAH JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyindir pihak yang mengecamnya termasuk dalam kalangan anggota kerajaan sendiri, sedangkan mereka berada dalam pentadbiran yang sama.

Ketika berucap pada Grand Finale: Jelajah Harapan, Melaka Rumah Kita di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hang Tuah Jaya, di sini pada Khamis, beliau secara berseloroh menyebut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai antara individu yang duduk di sebelahnya, namun tetap mengkritiknya.

Kenyataan itu kemudiannya disambut sorakan orang ramai sebaik sahaja Anwar menyebut Timbalan Perdana Menteri.

“... Dan yang kecam kita itu termasuk orang dalam kerajaan. Duduk sebelah saya. Itu Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Bagaimanapun, Anwar segera menjelaskan bahawa beliau tidak bermaksud mengganggu atau menyindir Ahmad Zahid secara langsung.

“Macam mana? Tak, saya tak kacau Datuk Zahid,” katanya yang kemudian menyifatkan semangat ditunjukkan orang Melaka sebagai semangat pejuang sebenar negeri itu.

Beliau turut membangkitkan sejarah kegemilangan Melaka dengan menyebut nama Hang Tuah dan Hang Jebat sebagai lambang keberanian serta semangat perjuangan negeri itu.

“Semangat orang Melaka. Ini barulah pejuang Melaka betul. Ini (kalau orang tanya) saya dari Melaka. Sejarah Melaka, Hang Tuah, Hang Jebat.

“Ini... kita lembik setengah mati,” katanya.

Sebelum ini, Anwar pernah mengingatkan pemimpin politik, khususnya dalam Kerajaan Perpaduan supaya mengamalkan budaya perbincangan dan menyelesaikan sebarang perbezaan pendapat menerusi saluran sewajarnya termasuk dalam mesyuarat Kabinet.

Jelasnya, keutamaan perlu diberikan kepada kestabilan pentadbiran dan bukannya menggunakan pentas politik untuk menyerang rakan sekutu yang bersama-sama membentuk kerajaan.