Banding kejahatan ikut agama: PKR desak Hadi tarik balik kenyataan - Sivamalar

SHAH ALAM – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menarik balik kenyataannya yang didakwa membandingkan kejahatan orang Islam dengan kezaliman orang bukan Islam sewaktu ceramah kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.

Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), G Sivamalar berkata, ini kerana tindakan pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu disifatkan menghina masyarakat bukan Islam serta mencemarkan keharmonian politik negara.

Tambah Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR itu, kejahatan dan kezaliman seseorang perlu dinilai berdasarkan perbuatan, bukannya agama yang dianuti.

Menurutnya, agama tidak sepatutnya dijadikan ukuran untuk menentukan tahap kejahatan seseorang, apatah lagi sehingga merendahkan martabat penganut agama lain.

Lebih membimbangkan, katanya, kenyataan itu dilaporkan dibuat ketika pentas kempen bersama Barisan Nasional (BN) dan PN kurang 48 jam sebelum rakyat Melaka keluar mengundi.

"Jika ketika memburu undi pun Tan Sri Hadi begitu berani mengeluarkan kenyataan yang memecahbelahkan rakyat, bayangkan apa yang mampu beliau katakan dan lakukan jika diberi kuasa mentadbir negara.

"Adakah ini gambaran Malaysia yang mahu dibentuk oleh Pas?" katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sehubungan itu, Sivamalar turut mempersoalkan pendirian MCA, MIC, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti India Malaysia (MIPP) yang dilihat tidak menyuarakan bantahan terhadap kenyataan berkenaan.

Beliau berkata, parti-parti berkenaan perlu menjelaskan sama ada kepentingan politik dan kerusi pilihan raya lebih utama berbanding prinsip mempertahankan maruah serta keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.

"Jangan lantang bercakap tentang hak masyarakat bukan Islam ketika berkempen, tetapi membisu apabila penghinaan datang daripada sekutu politik sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Sivamalar turur menuntut Hadi membuat permohonan maaf secara terbuka, selain menggesa kepimpinan BN serta PN menyatakan pendirian masing-masing.

Tegasnya, sikap berdiam diri bukan jawapan apabila pemimpin politik menggunakan agama untuk membezakan darjat manusia.

"PRN Melaka bukan sekadar medan untuk rakyat memilih wakil rakyat, sebaliknya peluang menilai nilai, prinsip dan pendirian kepimpinan parti yang mahu diberikan mandat.

"Malaysia memerlukan pemimpin yang mampu menyatukan rakyat, bukan pemimpin yang menjadikan perbezaan agama sebagai senjata politik," katanya.