SHAH ALAM – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang digesa menarik balik kenyataannya yang didakwa membangkitkan sentimen kebencian antara umat Islam dengan rakyat bukan Islam, sekali gus memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.
Dalam kenyataan bersama pada Jumaat, empat pemimpin DAP berpandangan bahawa kenyataan Abdul Hadi yang menyebut 'sejahat-jahat dan seburuk-buruk orang Islam yang memerintah negara, mereka tidak sezalim orang bukan Islam' sebagai tidak wajar.
Menurut mereka, kenyataan yang disampaikan di pentas politik di Melaka itu cenderung menghasut umat Islam supaya memusuhi dan membenci rakyat bukan Islam, malah Pas didakwa sekali lagi memainkan politik perpecahan demi meraih undi.
"Kami menegaskan bahawa mereka yang zalim, jahat dan bobrok tidak patut dipilih sebagai pemimpin di peringkat negeri mahupun kebangsaan, tidak kira apa-apa agama atau keturunan sekalipun.
"Rakyat Malaysia harus menolak mereka yang menyalahgunakan kuasa, melakukan rasuah dan mencuri wang rakyat, termasuklah mereka yang menghalalkan perbuatan ini," katanya.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali; Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan; Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Young Syefura Othman dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid.
Mereka turut menyifatkan kenyataan Abdul Hadi bukan sahaja mengelirukan, malah boleh mencalarkan kesucian Islam apabila menggambarkan seolah-olah kezaliman seseorang pemimpin boleh diterima atau dianggap lebih ringan hanya kerana beragama Islam.
"Jangan sampai kerana kepentingan politik, Islam dipandang lekeh dan hina akibat kenyataan pemimpin yang sepatutnya memahami prinsip keadilan agama itu sendiri," jelas mereka.
Menurut mereka, sejarah Islam sendiri memberikan pengajaran berbeza apabila Rasulullah SAW mengarahkan para sahabat berhijrah ke Habsyah ketika umat Islam ditindas di Makkah.
Katanya, tindakan itu dibuat kerana Raja Najasyi, seorang pemerintah Kristian, terkenal dengan keadilan sehingga Rasulullah SAW menyifatkan pemerintahannya sebagai tempat yang tiada sesiapa dizalimi.
Empat pemimpin DAP itu turut merujuk pandangan ulama muktabar, Ibn Taymiyyah, menerusi karya Majmu', yang membahaskan prinsip bahawa pemerintahan yang adil, meskipun dipimpin oleh orang bukan Islam, lebih mampu bertahan berbanding pemerintahan Islam yang zalim.
Justeru, mereka menegaskan bahawa keadilan dan amanah dalam urusan pemerintahan tidak seharusnya diketepikan kerana sentimen sempit agama.
Menurut empat pemimpin itu lagi, Abdul Hadi juga perlu dinilai berdasarkan prinsip keadilan, amanah dan kebenaran hujahnya, bukannya semata-mata kerana imej keagamaan yang dibawa Pas.
"Jangan meminta rakyat menilai orang lain berdasarkan agama, sedangkan kenyataan sendiri tidak mencerminkan prinsip keadilan Islam.
"Oleh yang demikian, Tan Sri Abdul Hadi Awang digesa menarik balik kenyataannya dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia," tambah mereka.
Dalam perkembangan sama, mereka turut mencabar parti-parti Perikatan Nasional (PN), khususnya Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), serta komponen Barisan Nasional (BN), terutama MCA dan MIC, supaya menyatakan pendirian berhubung kenyataan Presiden Pas berkenaan.
Mereka berkata, sekiranya tiada sebarang pendirian dinyatakan, rakyat berhak mempersoalkan sama ada parti-parti berkenaan menerima dan bersetuju dengan kenyataan tersebut.