PRN Melaka: Ujian getir kelangsungan PH, Bersatu dan Bersama

PERSAINGAN merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November ini bukan sekadar medan menentukan kelangsungan penguasaan Gelombang Biru yang kini dibarisi gabungan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Sebaliknya, ia menjadi ujian getir terhadap kekuatan Pakatan Harapan (PH) khususnya dalam mempertahankan beberapa kerusi panas yang kini berdepan perubahan sokongan pengundi.

Tumpuan terarah kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh dan Bukit Katil yang menyaksikan calon PH berdepan cabaran pelbagai penjuru, termasuk kemungkinan gelombang sokongan Melayu memihak kepada BN dan PN.

Perubahan demografi pengundi, perpecahan undi serta kemunculan parti baharu turut berpotensi mengubah percaturan politik, sekali gus membuka ruang kepada kejutan di beberapa kerusi tumpuan.

Dalam masa sama, kehadiran Bersama pimpinan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Bersatu selepas perpecahan dalam PN menimbulkan persoalan lebih besar mengenai kemampuan kedua-duanya membuktikan kekuatan sebenar di peti undi.

Adakah Bersama mampu menembusi dominasi parti sedia ada manakala Bersatu masih mempunyai pengaruh untuk menggugat BN dan PN, atau kedua-duanya sekadar berdepan risiko kehilangan deposit?

**media[3697836]**

Lebih daripada pertarungan kerusi, keputusan PRN Melaka bakal menjadi kayu ukur sentimen pengundi terhadap konfigurasi politik semasa, selain petunjuk awal kekuatan parti-parti menjelang kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Berdasarkan unjuran dua penganalisis politik tempatan, sejumlah lebih kurang 17 kerusi panas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dikenal pasti menjadi tumpuan pada PRN kali ini berlandaskan faktor demografi, kebolehpindaan undi dan persaingan pelbagai penjuru berpotensi mengubah pola sokongan politik.

Bagi Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomudin Bakar, beliau menyasarkan 10 kerusi DUN bakal menjadi tumpuan utama kali ini iaitu DUN Bukit Katil, Ayer Keroh, Paya Rumput, Gadek, Pantai Kundor, Merlimau, Sungai Udang, Kuala Linggi, Klebang dan Pengkalan Batu.

**media[3697837]**

Menurutnya, Bukit Katil dan Ayer Keroh antara kawasan yang menarik untuk diperhatikan, khususnya apabila calon Pakatan Harapan (PH) berdepan cabaran mendapatkan sokongan menyeluruh dalam komposisi pengundi yang semakin kompleks.

Beliau berpandangan, kekuatan tokoh seperti bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari di Bukit Katil tidak semestinya menjamin kemenangan apabila berdepan gabungan undi parti lawan.

Hisomudin menyamakan situasi itu dengan kekalahan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke di DUN Chennah pada PRN Negeri Sembilan, Ogos lalu yang membuktikan kekuatan individu tidak semestinya mampu mengatasi faktor demografi dan penyatuan sokongan pengundi.

"Ini bukan lagi situasi pertembungan tokoh dengan tokoh. Sebaliknya, ia merupakan pertembungan antara kekuatan seseorang tokoh dengan faktor demografi pengundi serta gelombang pengundi Melayu yang digerakkan melalui kerjasama BN-Pas.

"Situasi ini hampir sama seperti kes kekalahan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke di DUN Chennah di Negeri Sembilan," katanya kepada Sinar Harian.

**media[3697839]**

Di Ayer Keroh pula, kata Hisomudin, tanggapan bahawa kawasan itu merupakan kubu kuat DAP perlu dinilai semula kerana komposisi pengundi Melayu melebihi 40 peratus, selain kemungkinan kadar keluar mengundi pengundi Cina lebih rendah berbanding pengundi Melayu.

Bagaimanapun, beliau membangkitkan persoalan sejauh mana kadar kebolehpindahan undi penyokong BN mampu diterjemahkan sepenuhnya kepada calon-calon parti selain Pas dalam PN.

Berikutan itu, beliau menjadikan DUN Paya Rumput sebagai kawasan yang perlu diperhatikan berikutan potensi perpecahan undi dan persoalan sejauh mana sokongan penyokong UMNO boleh dipindahkan kepada calon PN.

"Dalam konteks calon PN dari Pas, Rafie Ahmad, saya berpandangan parti berkenaan mungkin tidak memperoleh limpahan atau sokongan tambahan seperti yang boleh diperoleh Pas daripada UMNO sewaktu PRN Johor dan Negeri Sembilan.

"Jadi, terdapat satu isu yang perlu dilihat di sini. Adakah Pas berpotensi memperoleh undi pindahan (transferable vote) yang lebih tinggi daripada BN berbanding parti-parti lain dalam PN?

"Sekiranya proses perpindahan undi penyokong BN tidak tinggi sebagaimana diharapkan, saya mengunjurkan calon PH, Datuk Azman Abidin berpeluang merampas kerusi itu dari tangan lawan," ujar Hisommudin.

**media[3697844]**

Mengulas kedudukan parti baharu Bersama, Hisomudin berkata, momentum parti itu semakin mendatar walaupun memulakan gerak kerja lebih awal.

Ujarnya, perhatian lebih tertumpu kepada tokoh-tokoh seperti Datuk Seri Rafizi Ramli, Iswardy Morni dan Faizal Rahman berbanding calon yang bertanding, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan strategi Bersama di peringkat akar umbi.

Hisommudin turut menjangkakan Bersatu turut berdepan cabaran susulan perpecahan PN dan ketidakpastian mekanisme perpindahan undi dalam kerjasama tidak langsung dengan PH.

"Jika tiada arahan yang jelas mengenai perpindahan sokongan daripada penyokong PH kepada Bersatu, keadaan itu mungkin memberikan kesan besar kepada peluang kemenangan Bersatu," katanya.

**media[3697835]**

Calon muda

Dalam perkembangan lain, Hisommudin berkata, kemunculan calon generasi Z (Gen Z) seperti Mukhlis Mubin di Kuala Linggi dan Farhana Hayani Mohd Nasir di Klebang membawa dimensi baharu dalam persaingan politik, namun populariti media sosial belum tentu diterjemahkan kepada undi sebenar.

Sebagai contoh, katanya, Farhana Hayani hakikatnya berdepan cabaran berat bertembung dua tokoh politik heavyweight negeri berkenaan iaitu penyandang yang juga bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lim Ban Hong serta bekas Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

"Persoalannya ialah sejauh mana perhatian yang diterima itu benar-benar diterjemahkan kepada sokongan pengundi di kawasan kubu kuat BN seperti Kuala Linggi.

"Kita tidak tahu sama ada mereka yang memberikan komen dan reaksi itu benar-benar pengundi di kawasan berkenaan atau sekadar pemerhati dari tempat lain," katanya.

**media[3697843]**

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Cawangan Melaka, Dr Shafezah Abdul Wahab pula mengunjurkan sejumlah 14 kerusi DUN yang dianggap 'panas' dan menarik untuk diperhatikan.

Menurut beliau, 14 kerusi DUN berkenaan ialah Tanjung Bidara, Merlimau, Bukit Katil, Pengkalan Batu, Sungai Udang, Bemban, Gadek, Bandar Hilir, Kota Laksamana, Duyong, Kelebang, Durian Tunggal, Serkam dan Ayer Molek.

"Kedua-dua kerusi DUN Tanjung Bidara dan Merlimau yang disandang Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh bukan sahaja mengukur pengaruh peribadi calon, tetapi turut menjadi petunjuk terhadap kekuatan kepimpinan dan jentera akar umbi UMNO.

"Bagi DUN Sungai Udang, Bemban dan Gadek, ketiga-tiga kerusi ini memperlihatkan perubahan strategi pencalonan dan rundingan kerusi antara parti.

"Penyertaan Bersama serta perubahan kedudukan calon PN dan Bersatu menjadikan persaingan lebih kompleks. Faktor utama ialah sejauh mana parti mampu menyelaraskan jentera dan mengelakkan perpecahan undi dalam kelompok pengundi yang hampir sama," katanya.

Mengenai DUN Bandar Hilir dan Kota Laksamana, Shafezah berpandangan, kedua-dua kerusi tersebut menarik perhatian kerana persaingan MCA-DAP.

"Ia menjadi ujian terhadap kemampuan MCA mencabar pengaruh DAP dalam kawasan bandar, khususnya dalam kalangan pengundi Cina.

"Keputusan di sini turut memberikan gambaran tentang penerimaan pengundi terhadap BN selepas perubahan landskap politik negeri di mana DAP mengumumkan penarikan diri dari kerajaan negeri," tambah beliau.

Dalam pada itu, persaingan pelbagai penjuru di kerusi-kerusi DUN Duyong, Klebang, Durian Tunggal, Serkam dan Ayer Molek menjadikan elemen pembahagian undi sebagai faktor penting.

"Selain kekuatan jentera, pengaruh calon tempatan dan keupayaan menarik pengundi atas pagar berpotensi menentukan keputusan, khususnya di kawasan yang mempunyai sejarah majoriti kemenangan tipis.

"PRN kali ini menguji sama ada Bersama dan Bersatu mampu membina sokongan berdasarkan identiti parti sendiri atau masih bergantung kepada populariti individu yang mewakilinya," ujar Shafezah.

INFO

17 KERUSI PANAS PRN MELAKA 2026

1) N02 Tanjung BidaraPengundi : 15,003 pemilih

Calon bertanding: Mohd Yunazri Mustamiri (PH-PKR); Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh (BN-UMNO)

Pemenang PRN 2021: Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh (BN-UMNO)

Majoriti PRN 2021: 364 undi

Komposisi kaum: 93% Melayu, 4% Cina, 3% India dan lain-lain

2) N26 Serkam

Pengundi: 21,352 pemilih

Calon bertanding: Datuk Azman Abdullah (BN-UMNO); Muhammad Faiq Azman (PH-PKR); Muhammad Saffie Md Yasan (Bersama)

Pemenang PRN 2021: Datuk Zaidi Attan (BN-UMNO)

Majoriti 2021: 79 undi

Komposisi kaum: 91% Melayu, 5% Cina, 4% India dan lain-lain

3) N11 Sungai Udang

Pengundi: 29,692 pemilih

Calon bertanding: Mejar (B) Abdullah Mahadi (Bersatu); Mohd Ridzuan Abdul Rahman (Bersama); Datuk Rais Yasin (BN-UMNO)

Pemenang PRN 2021: Dr Mohd Aleef Yusof (PN-Bersatu (kini Wawasan)

Majoriti PRN 2021: 530 undi

Komposisi kaum: 77% Melayu, 9% Cina, 14% India dan lain-lain

4) N27 Merlimau

Pengundi: 19,759 pemilih

Calon bertanding: Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh (BN-UMNO); Rahayu Hamzah (PH-Amanah)

Pemenang PRN 2021: Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh (BN-UMNO)

Komposisi kaum: 71% Melayu, 17% Cina, 12% India dan lain-lain

5) N09 Durian Tunggal

Pengundi: 21,181 pemilih

Calon bertanding: Datuk Dr Mustafa Musa (BN-UMNO); Datuk Ashraf Mukhlis Minghat (PH-Amanah)

Pemenang PRN 2021: Zahari Abd Kalil (BN-UMNO)

Majoriti PRN 2021: 559 undi

Komposisi kaum: 67% Melayu, 23% Cina, 10% India dan lain-lain

6) N24 Bemban

Pengundi: 26,381 pemilih

Calon bertanding: Muhammad Rabaie Ab Hamid (Bersatu); Dr Muhammad Solehin Saleh (Bersama); Dr Mohd Yadzil Yaakub (PN-Wawasan); Abd Halim Said (Bebas)

Pemenang PRN 2021: Dr Mohd Yadzil Yaakub (PN-Bersatu)

Majoriti PRN 2021: 328 undi

Komposisi kaum: 62% Melayu, 20% Cina, 18% India dan lain-lain

7) N22 Bandar Hilir

Pengundi: 23,042 pemilih

Calon bertanding: Jasmine Lok Huey Yee (BN-MCA); Leng Chau Yen (PH-DAP); Dr Mohd Nor Rashidi Ab Jalil (Bersama)

Pemenang PRN 2021: Leng Chau Yen (PH-DAP)

Majoriti PRN 2021: 7,778 undi

Komposisi kaum: 13% Melayu, 73% Cina, 14% India dan lain-lain

8) N21 Duyong

Pengundi: 26,528 pemilih

Calon bertanding: Poo Long Suan (PH-DAP); Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem (BN-UMNO)

Pemenang PRN 2021: Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem (BN-UMNO)

Majoriti PRN 2021: 200 undi

Komposisi kaum: 63% Melayu, 31% Cina, 6% India dan lain-lain

9) N20 Kota Laksamana

Pengundi: 34,066 pemilih

Calon bertanding: Low Chee Leong (PH-DAP); Melvin Chua Kew Wei (BN-MCA); Ethan Lim Zhi Hao (Bersama)

Pemenang PRN 2021: Low Chee Leong (PH-DAP)

Majoriti PRN 2021: 11,494 undi

Komposisi kaum: 19% Melayu, 76% Cina, 15% India dan lain-lain

10) N18 Ayer Molek

Pengundi: 24,614 pemilih

Calon bertanding: Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali (BN-UMNO); Muhammad Hakimin Mokhtar (PH-PKR)

Pemenang PRN 2021: Datuk Rahmad Mariman (BN-UMNO)

Majoriti PRN 2021: 2,802 undi

Komposisi kaum: 88% Melayu, 7% Cina, 5% India dan lain-lain

11) N17 Bukit Katil

Pengundi: 35,359 pemilih

Calon bertanding: Datuk Seri Adly Zahari (PH-Amanah); Muhammad Ridzuan Mohd Sarif (PN-PAS); Abu Bakar Sabudin (Bebas); Dr Aliza Che Amran (Bersama)

Pemenang PRN 2021: Datuk Seri Adly Zahari (PH-Amanah)

Majoriti PRN 2021: 1,057 undi

Komposisi kaum: 65% Melayu, 29% Cina, 6% India dan lain-lain

12) N16 Ayer Keroh

Pengundi: 38,252 pemilih

Calon bertanding: Muhammad Muhaimin Lau Abdullah (Bersama); Kerk Chee Yee (PH-DAP); Datuk Seri Michael Gan Peng Lam (PN-Gerakan); Mohd Hamnaim Mohamad (Bersatu)

Pemenang PRN 2021: Kerk Chee Yee (PH-DAP)

Majoriti PRN 2021 : 5,624 undi

Komposisi kaum: 44% Melayu, 47% Cina, 9% India dan lain-lain

13) N15 Pengkalan Batu

Pengundi: 25,948 pemilih

Calon bertanding: Siti Aisyah Mahmood (BN-UMNO); Goh Han Koon (Bersama); Jason Tze-Xi Nathan (PH-DAP); Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bersatu)

Pemenang PRN 2021: Datuk Kalsom Noordin (BN-UMNO)

Majoriti PRN 2021: 131 undi

Komposisi kaum: 65% Melayu, 28% Cina, 7% India dan lain-lain

14) N14 Kelebang

Pengundi: 27,339 pemilih

Calon bertanding: Farzana Hayani Mohd Nasir (PH-PKR); Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad (Bersatu); Young Jie Yu (Bersama); Datuk Lim Ban Hong (BN-MCA)

Pemenang PRN 2021: Datuk Lim Ban Hong (BN-MCA)

Majoriti PRN 2021: 876 undi

Komposisi kaum: 69% Melayu, 28% Cina, 3% India dan lain-lain

15) N13 Paya Rumput

Pengundi: 46,521 pemilih

Calon bertanding: Rafie Ahmad (PN-Pas); Abdul Rashid Abu Bakar (Bersama); Datuk Azman Abidin (PH-PKR)

Pemenang PRN 2021: Datuk Rais Yasin (BN-UMNO)

Majoriti PRN 2021: 629 undi

Komposisi kaum: 62% Melayu, 30% Cina, 8% India dan lain-lain

16) N07 Gadek

Pengundi: 16,617 pemilih

Calon bertanding: K Jegasilan (PH-DAP); B Laveen (Bersama); Laila Norinda Maon (Putra); S Nadarajah (BN-MIC)

Pemenang PRN 2021: P Shanmugam (BN-MIC)

Majoriti PRN 2021: 559 undi

Komposisi kaum: 62% Melayu, 20% Cina, 18% India dan lain-lain

17) N01 Kuala Linggi

Pengundi: 15,483 pemilih

Calon bertanding: Muhammad Mukhlisul Mubin Julaisapiyah (PH-Amanah); Dr Nur Farhana Hamzah (Bersama); Datuk Rosli Abdullah (BN-UMNO)

Pemenang PRN 2021 : Datuk Rosli Abdullah (BN)

Majoriti PRN 2021: 1,836 undi

Komposisi kaum: 77% Melayu, 21% Cina, 2% India dan lain-lain