SHAH ALAM - Enam nama besar yang dilihat sukar digugat mula mencuri tumpuan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 ketika 79 calon bersaing merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 14 November ini.
Berbekalkan pengaruh politik, rekod kepimpinan serta kekuatan jenama peribadi, kelompok pemimpin berkenaan dilihat mempunyai kelebihan tersendiri untuk mempertahankan kedudukan masing-masing meskipun berdepan persaingan sengit daripada calon parti lawan.
Antara yang menjadi perhatian ialah Ketua Menteri Melaka yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh; serta calon DUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.
Turut berada dalam kelompok pemimpin berprofil tinggi itu ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari; dan Ketua Penerangan Wanita PKR, Datuk Ginie Lim Siew Lin yang masing-masing mempunyai pengaruh tersendiri dalam gelanggang politik negeri berkenaan.
Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, kemampuan empat penyandang daripada BN tersebut perlu diperakui mengambil kira tahap penerimaan rakyat.
**media[3697832]**
Menurut beliau, kesemua calon itu secara asasnya mempunyai profil kepimpinan berbeza merangkumi pentadbiran negeri, kepimpinan sayap parti dan perkhidmatan kawasan masing-masing.
"Bagaimanapun kekuatan personaliti tidak semestinya diterjemahkan secara langsung kepada kemenangan majoriti besar namun potensi kemenangan tidak lagi boleh dipersoalkan dalam persekitaran politik semasa di Melaka.
"Saya juga membuat penilaian ini berdasarkan kepada keputusan terdahulu, kekuatan pencabar, isu setempat dan perubahan kadar keluar mengundi," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Mohammad Tawfik berkata, Ab Rauf mempunyai jenama politik dan pemimpin UMNO negeri yang dekat dengan hati rakyat menerusi slogan 'Mana lagi..Melaka Lerr', sementara Muhamad Akmal Saleh terkenal dengan peranannya dengan isu-isu politik nasional.
"Mohd Noor Helmy pula dilihat mesra dengan semua lapisan kaum di kawasannya, begitu juga dengan Datuk Khaidhirah. Nama-nama yang disebut tadi mempunyai bentuk keterlihatan politik berbeza tetapi pengaruh tersebut perlu dinilai secara berasingan daripada tahap sokongan sebenar pengundi di kawasan masing-masing," katanya.
Ujar beliau, calon besar daripada PH yang sukar dicabar ialah Adly bagi mempertahankan kerusi DUN Bukit Katil dan Genie di Machap Jaya.
"Adly sebelum ini pernah menjadi Ketua Menteri Melaka, sudah pasti ada asas untuk rakyat menilai kemampuan beliau. Begitu juga Genie yang pernah memegang jawatan sebagai Exco. Inilah kelebihan bagi kedua-dua calon heavyweight PH ini," katanya.
Mohammad Tawfik bagaimanapun berkata, walaupun majoriti besar pada PRN 2021 masih relevan sebagai petunjuk sejarah kekuatan jentera dan sokongan pengundi tetapi ia tidak boleh dijadikan ukuran mutlak bagi PRN kali ini.
"Landskap politik telah berubah melalui kerjasama antara gabungan, transfer vote atau pemindahan undi, pertambahan pengundi, isu ekonomi dan pentadbiran," katanya.
Sementara itu, penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Syahruddin Awang Ahmad turut mempunyai pandangan sama bahawa keenam-enam calon heavyweight itu dijangka mampu mempertahankan kerusi ditandingi.
Jelas beliau, penilaian keenam-enam calon berkenaan dibuat dalam aspek khidmat yang dibuat ketika menjadi kerajaan sebelum ini memandangkan PH dan BN pernah menerajui negeri tersebut.
"Saya yakin faktor personaliti calon memainkan peranan yang sangat dominan dan dalam banyak keadaan, kerap kali mengatasi pengaruh parti itu sendiri, khususnya dlm pilihan raya peringkat negeri.
"Pengundi di satu-satu kawasan sebenarnya cenderung untuk menilai keterbukaan, kebolehcapaian, rekod perkhidmatan mesra rakyat serta keprihatinan seseorang calon terhadap isu tempatan berbanding ideologi parti semata-mata," katanya.
Tambah beliau, seseorang calon disenangi dan rajin menyantuni komuniti setempat mampu meraih undi rentas parti, sekali gus menjadi perisai untuk bertahan walaupun parti yang diwakilinya sedang mendepani pelbagai cabaran atau persepsi negatif di peringkat nasional.