Usaha penyegaran politik BN

KEPUTUSAN Barisan Nasional (BN) menampilkan lapan muka baharu daripada 21 calon yang diumumkan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memperlihatkan usaha gabungan itu melakukan penyegaran politik, di samping menyesuaikan strategi dengan kehendak pengundi semasa.

Perubahan hampir separuh daripada jumlah keseluruhan calon yang bertanding termasuk turut menggugurkan tiga Exco menunjukkan BN bersedia memberi ruang kepada kepimpinan generasi baharu untuk membuktikan kemampuan masing-masing.

Lapan calon baharu itu ialah Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid (Lendu), Ahmad Norazril Abd Aziz (Rembia), S Nadarajah (Gadek), Datuk Dr Mustafa Musa (Durian Tunggal), Siti Aisyah Mahmood (Pengkalan Batu), Datuk Ridhwan Ali (Ayer Molek), Datuk Azman Abdullah (Serkam) dan Jezlee Pit (Sungai Rambai).

Menerusi majlis pelancaran jentera pilihan raya dan pengenalan calon BN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka pada Sabtu itu, Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh kekal sebagai calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, manakala penyandang DUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; DUN Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau Dira Abu Zahar dan DUN Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, turut dikekalkan.

Manakala, kumpulan yang digugurkan, Datuk Seri Sulaiman Md Ali (Lendu), Datuk VP Shanmugam (Gadek), Datuk Zahari Mohd Khalil (Durian Tunggal), Datuk Kalsom Nordin (Pengkalan Batu), Datuk Rahmad Mariman (Ayer Molek), Datuk Zaidi Attan (Serkam) dan Datuk Siti Faizah Abdul Azis (Sungai Rambai)

Langkah berani dibuat gabungan itu juga turut didorong oleh keyakinan gabungan berkenaan untuk kekal memegang tampuk kepimpinan di negeri berkenaan mengambil kira keputusan pada PRN lalu.

**media[3690275]**

Penganalisis politik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, kedudukan BN sebagai gabungan yang menerajui kerajaan negeri memberikan ruang kepada mereka untuk mengetengahkan pencapaian pentadbiran dan pembangunan yang telah dilaksanakan.

"Saya melihat tindakan BN menampilkan lapan muka baharu sebagai sebahagian daripada usaha penyegaran politik, khususnya untuk memperlihatkan bahawa parti tersebut bersedia melakukan perubahan dan memberi ruang kepada kepimpinan generasi baharu.

"Namun begitu, langkah ini juga boleh dilihat sebagai strategi untuk menyesuaikan calon dengan kehendak pengundi di kawasan tertentu. BN mungkin mengambil kira faktor penerimaan masyarakat, kekuatan jentera dan peluang kemenangan sebelum menentukan calon," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Hussain Yusri, penampilan muka baharu juga dilihat mampu memberi nilai tambah kepada BN sekiranya mereka mempunyai latar belakang yang baik, mudah didekati dan memahami masalah masyarakat setempat.

Ujarnya, kehadiran calon baharu juga boleh memberikan gambaran bahawa BN sedang melakukan perubahan, sekali gus menarik perhatian pengundi muda yang mahukan pendekatan politik lebih segar.

"Namun begitu, calon berpengalaman mempunyai kelebihan tersendiri kerana mereka sudah mempunyai rekod perkhidmatan, jaringan akar umbi dan hubungan yang lama dengan masyarakat. Cabaran utama calon baharu ialah untuk membina keyakinan pengundi dalam tempoh kempen yang singkat.

"Jadi, muka baharu tidak semestinya lebih baik daripada muka lama, dan muka lama juga tidak semestinya menjadi pilihan utama pengundi. Apa yang lebih penting ialah kemampuan calon membuktikan bahawa mereka benar-benar boleh bekerja dan menyelesaikan masalah rakyat," katanya.

Persefahaman

Mengulas persoalan mengenai kemungkinan wujud kerusi yang dikosongkan BN bagi memberi laluan kepada Perikatan Nasional (PN), Hussain Yusri berkata, perkara itu perlu dilihat secara berhati-hati dan tidak boleh disimpulkan sebagai wujud persefahaman antara kedua-dua gabungan tanpa bukti atau pengesahan rasmi.

Bagaimanapun katanya, jika BN dan PN bertembung, keadaan itu berpotensi menyebabkan undi berpecah terutama dalam kalangan pengundi Melayu, sekali gus memberikan kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) di kawasan tertentu.

**media[3690276]**

Sementara itu, menyentuh pertembungan BN-PH di 21 kerusi pada PRN Melaka kali ini, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Mashitah Mohd Udin berkata, perkembangan berkenaan bakal menjadi medan menguji sejauh mana strategi penyegaran kepimpinan kedua-dua gabungan mampu diterima pengundi.

Katanya, kedua-dua gabungan dilihat cuba mencari keseimbangan antara pengalaman pemimpin sedia ada dengan kemunculan muka baharu.

“Sesebuah parti memerlukan pemimpin berpengalaman yang memahami pentadbiran dan mempunyai jaringan akar umbi, di samping generasi baharu yang mampu membawa idea serta pendekatan politik lebih segar.

“Bagaimanapun, keseimbangan ini bukan sekadar soal bilangan calon lama dan baharu, sebaliknya yang lebih penting ialah kredibiliti, penerimaan masyarakat setempat dan keupayaan setiap calon menyelesaikan permasalahan rakyat,” katanya.

Mashitah berkata, keputusan BN mengetengahkan lapan muka baharu juga boleh dilihat sebagai usaha pembaharuan kepimpinan susulan pertambahan pengundi baharu sejak PRN 2021, khususnya daripada kelompok generasi muda.

Katanya, golongan berkenaan mempunyai kecenderungan, keutamaan dan harapan berbeza terhadap wakil rakyat, sekali gus menyebabkan parti tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada tokoh lama.

Beliau berkata, pertukaran calon di beberapa kawasan termasuk Pengkalan Batu dan Ayer Molek pula boleh dianggap sebagai sebahagian daripada proses peralihan kepimpinan dalam BN.

“Pembaharuan yang baik bukan bermakna menolak sumbangan pemimpin terdahulu, sebaliknya memastikan kesinambungan pengalaman dan pembentukan pemimpin generasi seterusnya.

“Keberkesanan pertukaran calon akhirnya bergantung kepada penerimaan pengundi, kekuatan jaringan tempatan dan mutu perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya.

INFO

SENARAI PENUH CALON BN PRN MELAKA

* N01 Kuala Linggi – Datuk Rosli Abdullah

* N02 Tanjung Bidara – Datuk Seri Ab Rauf Yusoh

* N03 Ayer Limau – Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer

* N04 Lendu – Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid

* N05 Taboh Naning – Datuk Zulkiflee Mohd Zin

* N06 Rembia – Ahmad Norazril Abd Aziz

* N07 Gadek – S Nadarajah

* N08 Machap Jaya – Datuk Ngwe Hee Sem

* N09 Durian Tunggal – Datuk Dr Mustafa Musa

* N10 Asahan – Datuk Dr Fairul Nizam Roslan

* N11 Sungai Udang – Datuk Rais Yasin

* N12 Pantai Kundor – Datuk Tumimah Kadi@Hashim

* N14 Kelebang – Datuk Lim Ban Hong

* N15 Pengkalan Batu – Siti Aisyah Mahmood

* N18 Ayer Molek – Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali

* N21 Duyong – Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem

* N23 Telok Mas – Datuk Abdul Razak Abdul Rahman

* N25 Rim – Datuk Khaidhirah Abu Zahar

* N26 Serkam – Datuk Azman Abdullah

* N27 Merlimau – Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh

* N28 Sungai Rambai – Jezlee Pit

SENARAI DIGUGURKAN

- Datuk Seri Sulaiman Md Ali (Lendu)

- Datuk VP Shanmugam (Gadek)

- Datuk Zahari Mohd Khalil (Durian Tunggal)

- Datuk Kalsom Nordin (Pengkalan Batu)

- Datuk Rahmad Mariman (Ayer Molek)

- Datuk Zaidi Attan (Serkam)

- Datuk Siti Faizah Abdul Azis (Sungai Rambai)