Ini soal maruah, usaha MCA tarik sokongan pengundi Cina - Penganalisis

SHAH ALAM - Reaksi Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berhubung pengurangan kerusi yang bakal ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka isyarat bahawa parti itu tidak mahu dipandang kecil dalam Barisan Nasional (BN).

Pensyarah Sosiologi Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, tindakan Ka Siong meninggalkan dewan ketika majlis pengenalan calon BN bukan semata-mata berkaitan jumlah kerusi yang berkurangan dari tujuh kepada dua.

Beliau berpendapat bahawa ia lebih menyentuh soal maruah parti, proses rundingan dan pengiktirafan terhadap peranan MCA dalam mendapatkan sokongan pengundi Cina.

"Ka Siong tidak mahu MCA dipandang kecil dalam BN.

"Walaupun prestasi MCA pada PRN Melaka 2021 tidaklah begitu memberangsangkan, tetapi pengurangan kerusi tanpa rundingan yang meyakinkan pun boleh menjejaskan semangat jentera parti dan kepercayaan antara parti komponen," katanya kepada Sinar Harian.

Sivamurugan berkata demikian mengulas perkembangan pembahagian kerusi BN bagi mendepani PRN Melaka ke-16, di mana kali ini komponen parti bertanding 21 dari 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Baki lagi tujuh kerusi DUN diperuntukkan kepada Pas dan rakan strategik.

Penamaan calon PRN Melaka ke-16 ditetapkan pada 31 Oktober ini, manakala pengundian awal berlangsung 10 November depan.

Ditanya lebih lanjut tentang potensi 'perbalahan', Sivamurugan berpendapat bahawa ia mesti ditangani sebaik mungkin meskipun MCA pernah menyatakan isu sedemikian tidak menjejaskan gabungan pusat.

Pada hemat beliau, sekiranya soal pembahagian kerusi tidak diselesaikan segera menjelang hari penamaan calon, ia berpotensi memberi kesan kepada kekuatan kempen BN.

“Jika tidak diselesaikan, pertikaian ini berpotensi melemahkan kempen BN, khususnya dalam usaha mendapatkan semula sokongan bukan Melayu.

“Dalam politik gabungan, perkongsian kuasa bukan sekadar pembahagian kerusi. Tetapi juga perkongsian suara dan penghormatan,” ujarnya.