PETALING JAYA - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, dengan pengumuman lanjut mengenai persiapan parti itu dijadualkan pada 29 Oktober ini.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan untuk menyertai pilihan raya itu sudah dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang berlangsung pada Isnin malam.
Menurut Muhyiddin, terdapat beberapa perkara berkaitan kerusi yang akan ditandingi masih perlu diperhalusi dan dijangka diselesaikan dalam tempoh satu atau dua hari.
“Maknanya satu, memang kita menyertai; kedua, saya tak payah nak jelaskan di tempat mana kita akan bertanding dan persiapan-persiapan yang sudah pun kita mulakan sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di Ibu Pejabat Parti Bersatu di sini pada Isnin malam.
Muhyiddin berkata, mesyuarat MPT itu diadakan setiap dua bulan bagi membincangkan isu semasa, usul untuk memperkemaskan parti serta persiapan menghadapi persidangan bahagian yang akan bermula tidak lama lagi.
Menurutnya, mesyuarat itu turut memutuskan untuk mengadakan Perhimpunan Agung Bersatu pada penghujung Januari depan.
Mengulas tindakan Perikatan Nasional (PN) yang memutuskan untuk memulakan prosiding tatatertib terhadap Bersatu, Muhyiddin berkata, parti itu setakat ini belum menerima sebarang surat berhubung tindakan berkenaan.
Beliau mempersoalkan asas tindakan itu dengan menegaskan Bersatu tidak melakukan kesalahan seperti yang didakwa.
Sebaliknya, Muhyiddin berkata, Bersatu mengambil tindakan melaporkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung apa yang didakwanya sebagai pelanggaran peraturan oleh Pas dan kepimpinan parti itu di peringkat nasional.
Menurutnya, RoS mempunyai kuasa di bawah Akta Pertubuhan untuk mengambil tindakan berhubung perkara berkenaan.
Beliau turut merujuk tindakan RoS berkaitan status pendaftaran PN yang menurutnya telah membawa kepada keputusan penggantungan, selain perkembangan terbaharu mengenai pembubaran.
“Jadi agak aneh dan luar biasa kalau Majlis Tertinggi PN boleh membuat keputusan nak mengambil tindakan untuk menghukum kita. Apa salah kita," soalnya.
Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, Bersatu akan melihat perkembangan seterusnya memandangkan parti itu belum menerima sebarang surat rasmi daripada PN berhubung prosiding tatatertib berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, Bersatu belum membincangkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kerana pilihan raya berkenaan masih mempunyai tempoh yang panjang.
“Kita belum bincang lagi pasal agak ada masa lagilah. Itu lepas Melaka kita fikir lah apa nak buat,” katanya.