'PN is back' - Takiyuddin

KUALA LUMPUR - “Perikatan Nasional kembali." Itu reaksi Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis menggantung pelaksanaan notis pembatalan pendaftaran gabungan itu yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dua hari lalu.

Takiyuddin berkata, keputusan itu membolehkan PN kembali menjalankan aktiviti politiknya sementara menunggu prosiding substantif semakan kehakiman terhadap keputusan RoS berkenaan didengar mahkamah.

"Selepas keputusan ini, saya tak nak hurai panjang, saya nak sebut dalam dua perkara: Perikatan Nasional kembali, PN is back, Perikatan Nasional kembali semula,” katanya dalam sidang media di pekarangan lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini pada Khamis.

Terdahulu, Hakim, Datuk Azizan Md Arshad membenarkan permohonan PN supaya pelaksanaan notis pembatalan pendaftaran berkenaan digantung sehingga prosiding substantif semakan kehakiman didengar.

Ketika membacakan keputusan, Azizan berkata, mahkamah mendapati terdapat keadaan luar biasa yang mewajarkan penangguhan itu, khususnya berhubung potensi kemudaratan terhadap aktiviti politik PN dan penyertaannya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Keputusan itu dibuat sembilan hari sebelum hari penamaan calon PRN Melaka, sekali gus menjadi perkembangan penting buat gabungan berkenaan dalam usaha mempertahankan haknya untuk bertanding menggunakan nama dan logo sendiri.

Dalam sidang media sama, Takiyuddin turut menyifatkan isu pembatalan pendaftaran PN sebagai perkara yang dipertikaikan dari sudut kesahihannya.

**media[3686203]**

Beliau berkata, perkara itu antara hujah yang dibangkitkan barisan peguam gabungan berkenaan ketika prosiding di mahkamah.

"Tadi ada satu suasana yang menyelubungi kita dalam mahkamah, iaitu dibangkitkan pengharaman Perikatan Nasional adalah dibuat melalui satu pembatalan yang haram.

"Illegal cancellation, jadi itu yang menyelubungi kita tadi dalam mahkamah. Itulah antara penghujahan para peguam kita," katanya.

Takiyuddin turut merakamkan penghargaan kepada barisan 15 peguam yang mewakili PN dalam prosiding semakan kehakiman itu.

Pasukan berkenaan diketuai bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.