'PN teruskan perjuangan, beri tumpuan PRN Melaka' - Ahmad Samsuri

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) akan meneruskan perjuangan dengan memberi tumpuan sepenuhnya kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, seluruh jentera mesti memperkukuh persiapan, eratkan kerjasama dan bawa tawaran terbaik untuk rakyat.

"Alhamdulillah, kita bersyukur atas keputusan Mahkamah Tinggi hari ini menggantung notis Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung pembatalan pendaftaran PN.

"Pendirian PN jelas. Kita berada pada landasan yang benar dalam mempertahankan hak melalui saluran undang-undang," ujarnya menerusi laman Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, notis pembatalan pendaftaran PN yang dikeluarkan oleh RoS dua hari lalu, digantung oleh Mahkamah Tinggi.

Hakim, Datuk Azizan Md Arshad memutuskan demikian membenarkan permohonan gabungan parti itu supaya notis berkenaan digantung sehingga prosiding subtantif semakan kehakiman didengar.

Keputusan ini dibuat sembilan hari sebelum hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri Melaka, dengan gabungan itu berusaha mempertahankan haknya untuk bertanding menggunakan nama dan logo sendiri.

Tambah Ahmad Samsuri, usaha pihak yang mahu memadamkan PN tidak akan mematahkan tekad parti untuk tetap teguh.

"Kita terus mara.Terima kasih kepada semua atas doa, sokongan dan kesabaran, serta pasukan peguam atas usaha gigih mereka.

"Kita terus menghormati proses undang-undang yang berjalan dan akan mempertahankan hak kita dengan tegas," katanya.