SEREMBAN - Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan pendirian undang-undang berhubung sesuatu isu boleh membawa perkara itu ke mahkamah bagi mendapatkan semakan kehakiman.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, kerajaan melaksanakan sesuatu keputusan berdasarkan nasihat atau pandangan Peguam Negara, khususnya berkaitan aspek perundangan.
"Sudah tentu kerajaan mendengar pandangan daripada Peguam Negara dari segi perundangan.
"Kalau mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan apa-apa pendirian undang-undang itu, boleh pergi ke mahkamah untuk mendapatkan semakan kehakiman," katanya ditemui pemberita selepas Majlis Pemberian Bantuan Khas Kewangan Kepada Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Bas Sekolah di Negeri Sembilan pada Khamis.
**media[3685910]**
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa berlaku pencabulan terhadap Perlembagaan, sambil menjadikan contoh krisis adat dan diraja yang berlaku di Negeri Sembilan dan pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN).
Mengulas lanjut, Menteri Pengangkutan itu mengambil contoh tindakan 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar keputusan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan membatalkan pelantikan mereka pada bulan lalu.
Tegas beliau, penentuan sama ada sesuatu keputusan bercanggah dengan Perlembagaan atau tidak bukan terletak pada pemimpin politik, sebaliknya menjadi bidang kuasa mahkamah untuk memutuskannya.
"Kita mengamalkan kedaulatan undang-undang dan ini prinsip perundangan negara.
"Jadi semua isu bukan main cakap, bukan Presiden Pas yang boleh menentukan sama ada sesuatu itu mengikut Perlembagaan atau tidak. Bukan dia yang tentukan, yang menentukan ialah mahkamah," katanya
Justeru, Anthony berkata, mana-mana pihak yang berasakan sesuatu keputusan tidak mengikut Perlembagaan, mereka boleh membawa perkara itu ke mahkamah, bukannya menggunakan sentimen atau saluran politik.
Terdahulu, beliau menyampaikan bantuan khas kewangan RM1,000 kepada lebih 400 pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah.