KOTA BHARU – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang awalnya dijadual menyertai program Munajat dan Penyatuan Ummah anjuran Pas pada Jumaat ini, dimaklumkan tidak dapat hadir kerana mempunyai program UMNO di Melaka pada tarikh sama.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh ketika pertemuan dengan beliau bagi membincangkan penyertaan kedua-dua parti dalam program berkenaan.
Menurutnya, Ahmad Zahid sebelum ini dirancang menyampaikan ceramah bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada himpunan yang dijangka menarik kehadiran lebih 100,000 di Stadium Sultan Muhammad IV.
“Beliau sampaikan salam Presiden mereka dan minta maaf kerana UMNO ada satu program besar di Melaka pada 23 hari bulan ini. Jadi, Presiden kata pimpinan-pimpinan tinggi semua di Melaka.
“Mereka tak dapat datang Jumaat ini,” katanya ketika berucap Ceramah Jelajah Himpunan dan Munajat Penyatuan Ummah (Himpak) Kelantan 2026 di Pasir Tumboh di sini pada Selasa.
**media[3684402]**
Takiyuddin berkata, wakil UMNO turut menyatakan hasrat untuk mengadakan satu lagi program penyatuan ummah di Kelantan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, dengan perancangan lebih awal melalui penubuhan jawatankuasa bersama.
Beliau berkata, pihaknya menerima cadangan itu dan berharap program Munajat dan Penyatuan Ummah itu tetap mendapat sambutan besar meskipun pemimpin tertinggi UMNO tidak dapat hadir.
“Jangan kerana UMNO tak mari, kita tak cukup 100,000, UMNO tak jadi datang, kita pula 30,000 saja, jangan.
“Pastikan turun ramai-ramai hingga capai lebih 100,000,” katanya.
Program berkenaan diadakan sempena sambutan 36 tahun pemerintahan Pas di Kelantan sejak 1990.