'Fahami perlembagaan sendiri sebelum salahkan kerajaan' - AMK

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengingatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar supaya memahami dan mematuhi perlembagaan gabungan itu sebelum menyalahkan kerajaan berhubung pembatalan pendaftarannya.

Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin berkata, Naib Presiden Pas itu sepatutnya menjelaskan isu pematuhan perlembagaan PN susulan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan bukan menyifatkannya sebagai luar tabii serta mendakwa kerajaan ketakutan.

"Yang luar tabii ialah apabila pengerusi gabungan begitu lantang menuding jari, tetapi seolah-olah tidak memahami perlembagaan gabungannya sendiri.

"Notis RoS bertarikh 22 September 2026 telah dijawab PN dan menurut RoS, penjelasan itu gagal menyangkal asas pembatalan. Itu yang beliau sebagai pengerusi jawab dan bukan mengalihkan dengan cerita kerajaan takut," katanya menerusi hantaran di Facebook, pada Selasa.

Ahmad Samsuri dalam respons mengenai pembatalan pendaftaran PN oleh RoS menyifatkan, ia satu tindakan luar biasa dan bermotifkan ketakutan pihak tertentu.

​Ahli Parlimen Kemaman itu berkata, apa yang berlaku sehari sebelum kes dibawa ke mahkamah adalah satu tindakan luar biasa, malah boleh jadi luar tabii.

Dalam pada itu Danish turut menggesa PN mendedahkan notis berkenaan serta jawapan yang dikemukakan kepada RoS supaya rakyat boleh menilai pihak yang sebenarnya gagal menjalankan tanggungjawab.

"Yang bergaduh sesama sendiri itu kamu, tetapi orang luar pula dituduh menjadi punca.

"Beria-ia mahu mengurus negara, sedangkan rumah tangga sendiri berkecamuk pun masih sibuk mencari siapa hendak dipersalahkan," ujarnya.