Isu 'sakau' RM2.1 bilion: Dirujuk ke jawatankuasa Parlimen, hadiah ulang tahun daripada MP Kampar- Ka Siong

SHAH ALAM - Presiden MCA, Wee Ka Siong bersedia memberi penjelasan dan kerjasama sepenuhnya kepada Yang Dipertua (YDP) Dewan Rakyat berhubung tuduhan tidak berasas sehingga beliau dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat.

Beliau yang juga merupakan ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, perkara tersebut merupakan 'hadiah' hari ulang tahun yang diterimanya daripada ahli Parlimen (MP) Kampar, Chong Zhemin melalui YDP Dewan Rakyat.

Menurutnya, ia berkenaan ucapan Perbahasan Belanjawan 2027 pada 14 Oktober lalu yang membangkitkan isu dakwaan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dikatakan ‘sakau’ RM2.1 bilion.

"YB Hal Ehwal Wee Ka Siong’ ini sekali lagi heret saya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen atas tuduhan yang tidak berasas.

"Saya tanya tentang kenyataan media Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) bertarikh 1 September 2026 yang menunjukkan peruntukan diluluskan bagi projek jalan luar bandar dan perbelanjaan sebenar bagi tahun 2022 hingga 2026.

"Setiap pindaan mestilah mendapat kelulusan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Kementerian Kewangan (MoF). Mana mungkin menteri ‘sakau’ peruntukan kecuali dengan persetujuan MoF?" ujarnya menerusi laman Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, Chong Zhemin mengemukakan usul untuk merujuk Ka Siong kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat.

Chong Zhemin mendakwa Ka Siong telah membuat kenyataan yang mungkin mengelirukan dewan berhubung perbelanjaan KKDW.

Tambah Ka Siong, ini merupakan kali keempat ahli Parlimen Kampar mengheret beliau ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana menyuarakan isu yang berkaitan dengan kebajikan dan kepentingan rakyat.

"Chong Zhemin, sila teruskan usaha gigih kamu untuk sekat suara saya. Tetapi jangan lupa, rakyat sedang menilai perbuatan kamu.

"Saya turut bersyukur kerana usaha untuk merujuk saya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen sebelum ini semuanya gagal, kerana penjelasan saya kepada YDP Dewan Rakyat diterima dan patuh peraturan," katanya.