'Gelombang merah akan bangkit di Perak' - Kor Ming

IPOH – DAP Perak yakin ‘Gelombang Merah’ akan bangkit di Perak sebagai manifestasi sokongan rakyat terhadap perjuangan Pakatan Harapan (PH) yang mengutamakan perpaduan, kestabilan dan tadbir urus baik.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, Perak mempunyai keunikan tersendiri kerana masyarakat pelbagai kaum di negeri ini mampu berdiri sebagai satu keluarga.

Menurutnya, ia sekali gus menjadi asas kepada pembentukan politik yang membina dan bukannya membinasakan.

"Oleh itu, hari ini apabila kita berdiri di sini, ini adalah satu titik permulaan. Ini hanyalah permulaan kepada tsunami rakyat, Gelombang Merah yang saya yakin akan bangkit di bumi bertuah Perak Darul Ridzuan.

"Kita percaya Perak bukan Johor, Perak bukan Negeri Sembilan. Perak adalah sebuah negeri yang meraikan kepelbagaian dan perpaduan. Kita akan berdiri sebagai satu keluarga besar yang saling prihatin bersama Pakatan Harapan,” katanya ketika berucap sempena Majlis Makan Malam Perdana Ulang Tahun ke-60 DAP di Buntong di sini pada Ahad.

Sementara itu Kor Ming menyeru rakyat supaya menilai prestasi dan hasil sebenar yang telah dicapai oleh kerajaan dan jangan membenarkan politik berasaskan sentimen perkauman serta agama menjejaskan keharmonian negara.

Jelasnya, Kerajaan Perpaduan Perak terus mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila berjaya merekodkan jumlah pelaburan tertinggi dalam sejarah negeri sebanyak RM15.2 bilion, belanjawan lebihan 4 tahun berturut-turut, selain mencatatkan jumlah ketibaan pelancong tertinggi sebanyak 10.1 juta orang.

Timbalan Pengerusi DAP itu berkata, siri pencapaian tersebut membuktikan bahawa pentadbiran kerajaan di negeri ini mampu membawa pembangunan ekonomi yang kukuh serta mentadbir negeri secara adil dan saksama untuk masyarakat berbilang kaum.

Katanya, pencapaian berkenaan menunjukkan bahawa pembangunan ekonomi dan pengurusan kewangan dibawah kerangka ekonomi Madani yang berhemah boleh bergerak seiring dengan pentadbiran yang inklusif serta memberi manfaat kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.

Tambah beliau, pelbagai reformasi institusi yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan turut membuktikan bahawa kerajaan hari ini bersedia mendengar suara rakyat, memperbaiki sistem penyampaian serta memastikan pentadbiran awam terus responsif terhadap keperluan masyarakat.

“Jangan benarkan politik usang yang memainkan sentimen kaum dan agama merosakkan negara. Kita memerlukan politik yang membina, menyatukan rakyat dan membawa kemajuan, bukannya politik yang memecah-belahkan masyarakat.

“Justeru, politik baharu yang berteraskan perpaduan, prestasi bekerja, pembangunan dan kesejahteraan rakyat harus menjadi pilihan terbaik pengundi di negeri Perak,” katanya.

Hadir sama pada majlis tersebut pemimpin veteran DAP Tan Sri Lim Kit Siang, Naib Pengerusi DAP Perak, Datuk A Sivanesan; Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How dan ADUN Buntong, Thulsi Manogaran.