KOTA BHARU - Parti Amanah Negara (Amanah) dijangka mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang, susulan pendirian parti itu untuk mempertahankan kawasan yang pernah dimenangi.
Ketua Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, secara kebiasaannya parti itu akan mengekalkan kerusi dimenangi, manakala kerusi yang gagal dipertahankan berkemungkinan melalui proses pertukaran dengan rakan komponen Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun, ujar beliau, keputusan berhubung agihan kerusi masih belum dibincangkan secara rasmi antara pimpinan PH Melaka.
"Biasanya mana-mana kerusi yang kita menang, kita akan kekal. Mana kerusi yang kita bertanding dan kita tidak menang, mungkin ada 'swapping'.
"Itu bergantung kepada calon-calon juga yang mana yang nak diketengahkan dan kawasan-kawasan yang mana yang mereka berminat," katanya semasa sidang akhbar ketika ditemui pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang di sini pada Isnin.
Pada PRN Melaka 2021, Amanah memenangi satu kerusi DUN iaitu Bukit Katil menerusi calon PH, Adly Zahari.
Menurut beliau, perbincangan mengenai agihan kerusi hanya akan digerakkan apabila terdapat perkembangan berkaitan pembubaran DUN Melaka.
Katanya, buat masa ini perkara itu masih sekadar disebut-sebut dan belum ada tindakan rasmi dibuat berhubung pembubaran DUN.
"Belum lagi. Biasanya ia akan berlaku apabila kita nampak ada gerakan untuk membubarkan DUN.
"Sekarang ini masih lagi disebut-sebut tetapi belum bertindak lagi. Dalam kalangan kita pun tengah bincang dan akhirnya akan diadakan perbincangan antara pimpinan PH Melaka untuk menentukan jumlah kerusi yang akan diagihkan," katanya.
Sementara itu, Khalid memberitahu, sebarang kemungkinan pertukaran kerusi perlu mengambil kira calon yang bakal diketengahkan serta kawasan yang menjadi pilihan parti.
Beliau berkata, rundingan agihan kerusi PH Melaka akan menentukan jumlah kerusi yang akan ditandingi setiap parti dalam menghadapi PRN berkenaan.