SEREMBAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, J Arul Kumar dilantik sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, pelantikan Arul Kumar dibuat secara sebulat suara oleh Jawatankuasa Negeri DAP Negeri Sembilan selepas beliau mengosongkan jawatan itu yang disandangnya selama 22 tahun sejak 2004.
"Pemilihan Arul Kumar adalah sesuatu yang saya rasa amat positif dan membuktikan DAP adalah sebuah parti berbilang kaum. Kita melihat seseorang itu dari segi kelayakan dan kebolehan beliau untuk memimpin.
"Saya menaruh keyakinan dan kepercayaan kepada jawatankuasa negeri yang baharu kerana pasukan kita adalah berpengalaman, telah lama bekerjasama dan bersatu padu, paling penting kita akan meneruskan kerja di setiap kawasan yang diwakili dengan bersungguh-sungguh,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Negeri DAP Negeri Sembilan di sini hari ini.
Anthony berkata, pelantikan Arul Kumar yang juga Naib Pengerusi DAP negeri sebelum ini adalah selaras dengan perlembagaan parti.
Beliau berkata, beliau kekal sebagai anggota Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan selain meneruskan peranan sebagai Setiausaha Agung DAP.
Katanya, tanggungjawab sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan besar, terutama selepas parti itu mencatat prestasi yang baik dalam empat pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini dan berjaya mengekalkan sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN ke-16 baru-baru ini.
Anthony yang juga Menteri Pengangkutan, sebelum ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan susulan keputusan PRN Negeri Sembilan yang menyaksikan beliau gagal mempertahankan kerusi DUN Chennah.
Dalam pada itu, beliau berkata, pelantikan Arul Kumar turut mencerminkan komitmen DAP terhadap politik berbilang kaum, walaupun majoriti anggota jawatankuasa negeri terdiri daripada kaum Cina.
Beliau berkata, Arul Kumar bukan pemimpin India pertama yang pernah mengetuai DAP Negeri Sembilan, malah seorang pemimpin Melayu iaitu Yusof Bador juga pernah menjadi pengerusi negeri pada awal 80-an.
Jelasnya, Arul Kumar juga dijangka mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim bagi membincangkan bentuk kerjasama baharu antara kerajaan negeri dan barisan pembangkang.
Sementara itu, Arul Kumar berkata, tanggungjawab menerajui DAP Negeri Sembilan merupakan amanah besar dan beliau akan memastikan parti terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Beliau berkata, DAP akan terus berkhidmat kepada rakyat di sembilan kawasan yang dimenangi termasuk meneruskan khidmat kepada penduduk di DUN Chennah dan Repah yang tidak lagi diwakili parti itu.
Pada PRN Negeri Sembilan baru-baru ini, DAP memenangi sembilan daripada 11 kerusi DUN yang ditandingi, manakala dua kerusi iaitu Chennah dan Repah gagal dipertahankan. - Bernama