Sudah sampai masanya tamatkan kerjasama BN-PH, jangan pura-pura lagi - Puad Zarkashi

JOHOR BAHRU – Memorandum Persefahaman (MOU) Kerajaan Perpaduan membabitkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sudah sepatutnya ditamatkan susulan kerjasama BN dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, kemenangan gabungan BN-PN di negeri itu menunjukkan formula kerjasama tersebut dijangka diteruskan pada PRN Melaka dan seterusnya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

"Tahniah BN-PN di atas kejayaan menawan Negeri Sembilan. Sudah tentu formula BN-PN akan diteruskan di PRN Melaka dan seterusnya PRU ke-16.

"Maka sudah sampai masanya MOU Kerajaan Perpaduan khususnya BN-PN ditamatkan awal. Tiada sebab MOU itu diteruskan. Batalkan sahaja.

"Tak perlu berpura-pura lagi. Serang menyerang antara BN-PN berleluasa semasa kempen. Pas ambil peluang cucuk jarumnya," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Pada PRN Negeri Sembilan semalam, strategi kerjasama BN dan PN menyaksikan UMNO memenangi kesemua 16 kerusi yang ditandingi, diikuti MCA dengan dua kerusi.

PN menerusi Pas pula memperoleh empat kerusi manakala Parti Wawasan Negara (Wawasan) memenangi tiga kerusi.

Dalam pada itu, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu turut menjadikan isu laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji sebagai contoh perbezaan pendirian antara PH dan BN sepanjang kempen PRN.

"Jangan apologatik. Alasan negeri lain, pusat lain sudah tidak relevan. Ternyata BN-PN mahu menubuhkan kerajaan Melayu dominan. Kena hentikan conflict of interest.

"Isu laporan RCI Tabung Haji contoh terbaik. PH buat tafsiran lain, BN-PN buat tafsiran lain semasa kempen. Tiada lagi kebersamaan. Lebih baik berpisah dengan cara baik. Rasanya BN sudah rela jadi pembangkang sebelum PRU ke-16," ujarnya lagi.