SEREMBAN – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 dilihat menjadi landskap politik Melayu kini memasuki fasa baharu yang menuntut kerjasama antara parti-parti politik.
Naib Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Omar Mustapha berkata, keputusan tersebut juga memperlihatkan era dominasi sebuah parti Melayu secara bersendirian semakin berubah kepada model kepimpinan yang berasaskan gabungan dan saling melengkapi.
Menurutnya, situasi itu mengingatkan kepada kisah Hikayat Tiga Negara (Sam Kok) yang memperlihatkan kejayaan dicapai bukan dengan meniru kekuatan pihak lain, sebaliknya melalui gabungan kelebihan yang berbeza.
"Kejayaan tidak dicapai dengan meniru kekuatan pihak lain, tetapi dengan menggabungkan kelebihan berbeza menjadi satu kesatuan yang ampuh," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Sabtu mengumumkan Barisan Nasional (BN) memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya negeri berkenaan.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, Pakatan Harapan (PH) pula menang 11 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) tujuh kerusi.
Keputusan itu juga menyaksikan pentadbiran PH di negeri beradat itu tumbang selepas dua penggal memegang tampuk kepimpinan di Negeri Sembilan.
Sementara itu, menyentuh mengenai peranan Wawasan dalam blok politik berkenaan, Omar menegaskan bahawa partinya menggalas amanah sebagai 'jambatan' antara rumah lama politik Melayu iaitu UMNO dan Pas.
"Sejarah mengajar kita bahawa rumah-rumah lama tidak berdamai melalui perasaan semata-mata. Ia memerlukan perantara, iaitu parti dan tokoh yang dipercayai oleh kedua-dua pihak.
"Itulah amanah yang direncanakan oleh pengasas dan Presiden kami, Datuk Seri Hamzah Zainudin. Wawasan ditubuhkan dengan keyakinan bahawa perpaduan Melayu memerlukan jambatan, dan jambatan itu mesti dibina sebelum ia diperlukan," jelasnya.
Beliau menambah, kemenangan tiga daripada empat kerusi yang ditandingi Wawasan juga membuktikan setiap parti mempunyai kekuatan tersendiri yang mampu menyumbang kepada kejayaan gabungan tanpa perlu bersaing sesama sendiri.
Wawasan yang bertanding atas tiket PN menang di kerusi DUN Klawang (Danni Rais), Gemas (Ridzuan Ahmad) dan Sikamat (Datuk Razali Abu Samah).