PASIR SALAK - Pemuda UMNO terbuka terhadap kemungkinan kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, perkara itu bukan sesuatu yang mustahil terutama selepas menilai keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
“Dalam politik, tiada yang mustahil. Apa yang penting ialah kita buat keputusan terbaik untuk rakyat dan kestabilan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Salak di Dewan Besar Bandar Baru Felcra Seberang Perak di sini pada Ahad.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Khairul Azwan Harun.
**media[3603116]**
Pada Sabtu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan keputusan rasmi PRN Negeri Sembilan Ke-16 menyaksikan BN memenangi 18 kerusi, Pakatan Harapan (PH) memperoleh 11 kerusi manakala PN sebanyak tujuh kerusi.
Muhamad Akmal berkata, keputusan di Negeri Sembilan menjadi contoh penting bagaimana kerjasama politik dan agihan kerusi dibuat secara tersusun melibatkan tiga peringkat iaitu bahagian, negeri dan pusat sebelum dimuktamadkan.
Menurutnya, pendekatan itu membolehkan pandangan akar umbi diambil kira tanpa menjejaskan keputusan akhir parti.
“Kita pada asalnya mahu bertanding 36 kerusi, namun selepas menimbang baik dan buruk, kita putuskan bertanding 25 kerusi dan akhirnya berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti dua pertiga,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menyifatkan kemenangan di Negeri Sembilan sebagai satu kebangkitan selepas UMNO dan BN tidak membentuk kerajaan negeri selama dua penggal sebelum ini.
Katanya, kemenangan tersebut juga menolak persepsi negatif terhadap UMNO, termasuk dakwaan kononnya parti itu membawa sentimen perkauman dan agama.
"Keputusan ini perlu dihormati. Sebagaimana UMNO pernah kalah, kita hormat keputusan rakyat.
"Maka hari ini bila UMNO menang, kita hormat juga keputusan rakyat," katanya.
Tambah beliau, kejayaan itu menjadi pemangkin untuk memperkukuh parti di peringkat negeri sebelum melangkah ke arah pentadbiran di peringkat nasional.