Kerajaan PH kini bagaikan di hujung tanduk, formula BN-PN mampu kuasai Semenanjung - Fadhli Shaari

SHAH ALAM - Kerajaan Perpaduan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) didakwa kini berada dalam kedudukan semakin mencabar dan hanya menunggu masa sebelum berlaku perubahan landskap politik negara susulan kekalahan terbaharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari secara sinis juga berkata, gabungan itu boleh bersedia untuk mengambil kerusi pembangkang apabila Parlimen dibubarkan nanti bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU).

Ini kerana katanya, kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menjadi 'formula kemenangan' di Negeri Sembilan diyakini mampu memberikan peluang besar kepada gabungan tersebut merampas lebih banyak kerusi Parlimen.

"Jika formula BNPN ini dapat dibawa ke medan PRU, seluruh negeri di Semenanjung Malaysia akan berjaya ditawan termasuklah Pulau Pinang. Justeru pimpinan PN dan BN jangan menoleh ke belakang lagi, teruskan dengan formula kemenangan ini.

"Jangan peduli ajakan ‘bermaafan hari raya’ oleh PMX. Berkhidmatlah dengan kerajaan sekarang sebaiknya secara profesional menunggu sehingga Parlimen dibubarkan.

"Penyokong PH perlulah berfikir semula untuk meneruskan sokongan dalam PRU akan datang. Tidak guna menyokong pasukan yang hampir pasti tewas. Lagipun ahli Parlimen PH jika ada yang menang tentu sekali tidak akan mohon peruntukan dari kerajaan sebagaimana mereka juga tidak beri peruntukan kepada pembangkang dalam penggal ini," katanya menerusi hantaran di media sosial pada Ahad.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Sabtu mengumumkan BN memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya negeri berkenaan.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, PH pula menang 11 kerusi dan PN tujuh kerusi.

Keputusan itu juga menyaksikan pentadbiran PH di negeri beradat itu tumbang selepas dua penggal memegang tampuk kepimpinan di Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas turut mengajak penyokong dan pemimpin PH supaya bermuhasabah selepas ditolak rakyat pada PRN tersebut.

"Jangan persalahkan kami dengan memomokkan seolah-olah rakyat terpedaya dengan sentimen perkauman. Adakah anda rasa rakyat tidak cerdik," katanya.