PRN Negeri Sembilan: Kombinasi BN-PN cipta gelombang Melayu Islam lebih besar - ILHAM Centre

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya (PRN) Negeri Sembilan diunjur berjaya mencipta pembentukan gelombang politik Melayu-Islam yang lebih besar berbanding di Johor.

Menurut dapatan kajian lapangan ILHAM Centre, sokongan Melayu pada PRN Johor lebih banyak digerakkan secara berasingan antara BN dan PN, namun di Negeri Sembilan kedua-dua blok berjaya membentuk persefahaman lebih jelas sehingga mewujudkan perpindahan undi tersusun di peringkat akar umbi.

ARTIKEL BERKAITAN: PRN Negeri Sembilan: Pengundi India menjauhi PH - ILHAM Centre

PRN Negeri Sembilan: Pengundi Cina tidak lagi beri sokongan automatik kepada PH - ILHAM Centre

PRN Negeri Sembilan: Dapatan kajian ILHAM Centre gariskan tujuh sebab BN-PN dijangka kuasai keputusan pengundian esok

PRN Negeri Sembilan: BN dijangka kekalkan penguasaan hampir semua kubu tradisi - ILHAM Centre

"Gelombang ini bukan sekadar lahir daripada kerjasama kepimpinan parti, sebaliknya diperkukuhkan oleh naratif bersama yang dibawa sepanjang kempen.

"Isu penyatuan undi Melayu, kestabilan politik dan keperluan menghalang kemenangan PH menjadi tema yang diulang secara konsisten sehingga berjaya mempengaruhi sebahagian besar pengundi Melayu, termasuk pengundi atas pagar," menurut dapatan firma kajian itu pada Jumaat.

Mengulas lanjut, ILHAM Centre berkata, proses perpindahan undi antara penyokong BN dan PN juga berlangsung dengan jauh lebih berkesan berbanding jangkaan awal. 

Jelasnya, persefahaman politik yang dibentuk menjelang pilihan raya akhirnya berjaya diterjemahkan di peringkat akar umbi, sekali gus mengurangkan kebimbangan bahawa penyokong kedua-dua parti akan melakukan protes senyap atau enggan mematuhi arahan parti.

"Dapatan kajian menunjukkan bahawa perpindahan undi ini tidak berlaku secara simetri antara kedua-dua parti. Di kerusi yang ditandingi oleh BN, penyokong PN memindahkan undi mereka pada kadar yang amat tinggi, iaitu sekitar 92 peratus. 

"Sebaliknya, di kerusi yang ditandingi oleh PN, penyokong BN memindahkan undi pada kadar sekitar 75 peratus. Perbezaan ini menggambarkan bahawa masih wujud sebahagian penyokong tradisi BN yang mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan formula kerjasama baharu, khususnya di kawasan yang sebelum ini menyaksikan persaingan sengit antara kedua-dua parti," katanya.

Kajian lapangan itu dilaksanakan mulai 18 hingga 30 Julai lalu melibatkan 1,002 responden dan proses pengumpulan data tersebut merangkumi seluruh 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan menggunakan kaedah persampelan rawak berstrata meliputi semua segmentasi kaum, jantina, umur, tahap pendidikan, tahap pendapatan, pekerjaan dan lokaliti yang berbeza. 

Ralat pensampelan kajian pula ialah 3.1 peratus dengan tahap keyakinan 95 peratus.

Data kajian dianalisis secara kuantitatif berstatistik dan kualitatif bertematik, selain itu, analisis statistik terhadap scoresheet keputusan PRU 2022 dan PRN Negeri Sembilan 2023 turut dilakukan untuk mendapatkan perspektif yang lebih mendalam.