PRN Negeri Sembilan: Pengundi Cina tidak lagi beri sokongan automatik kepada PH - ILHAM Centre

SHAH ALAM - Sokongan pengundi Cina terhadap Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini tidak lagi diberikan secara automatik atau menyeluruh.

Menurut dapatan ILHAM Centre, corak sokongan itu jelas berbeza berbanding beberapa siri pilihan raya sebelum ini.

"Dapatan kajian lapangan menunjukkan sebahagian besar pengundi Cina masih memilih PH, namun keputusan tersebut lebih didorong oleh ketiadaan alternatif politik yang benar-benar diyakini, bukannya kerana tahap keyakinan yang tinggi terhadap prestasi kerajaan.

"Sokongan yang diberikan bersifat lebih pragmatik dan defensif, berbeza dengan semangat, keterujaan dan mobilisasi luar biasa yang dapat disaksikan ketika PRU15 dan PRN 2023," kata firma penyelidik itu.

Jelas ILHAM Centre, perubahan corak sokongan itu didorong oleh beberapa faktor antaranya rasa kecewa terhadap beberapa dasar nasional, khususnya yang menyentuh polisi cukai, pelarasan subsidi, penguatkuasaan aktiviti perniagaan serta persepsi bahawa reformasi institusi berjalan terlalu perlahan.

Keadaan itu katanya, menyebabkan PH berdepan dua cabaran serentak, selain defisit sokongan Melayu, mereka juga gagal mengekalkan tahap mobilisasi maksimum dalam kalangan pengundi teras mereka sendiri.

Kajian lapangan itu dilaksanakan mulai 18 hingga 30 Julai lalu melibatkan 1,002 responden.

Proses pengumpulan data tersebut merangkumi seluruh 36 Dewan Undangan Negeri (DUN)dengan menggunakan kaedah persampelan rawak berstrata meliputi semua segmentasi kaum, jantina, umur, tahap pendidikan, tahap pendapatan, pekerjaan dan lokaliti yang berbeza.

Ujar firma penyelidikan berkenaan, ralat pensampelan kajian ialah 3.1 peratus dengan tahap keyakinan 95 peratus dengan data kajian dianalisis secara kuantitatif berstatistik dan kualitatif bertematik.

Selain itu, analisis statistik terhadap scoresheet keputusan PRU 2022 dan PRN Negeri Sembilan 2023 turut dilakukan untuk mendapatkan perspektif yang lebih mendalam," katanya.