SHAH ALAM - ILHAM Centre menggariskan tujuh sebab dalam dapatan kajian terbaharu menjelang hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang dijangka memihak kepada kombinasi kerjasama Barisan Nasonal (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Menerusi dapatan itu, tujuh sebab berkenaan ialah kombinasi BN-PN mencipta gelombang Melayu-Islam yang lebih besar berbanding Johor, perpindahan undi lebih berkesan, kempen Pakatan Harapan (PH) hilang punca dan pegundi Cina tidak lagi memberi sokongan automatik kepada PH.
Selain itu, faktor Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun tenggelam, perubahan sikap pengundi muda daripada calon kepada parti dan pengundi India menjauhi PH.
Menurut ILHAM Centre, kajian lapangan itu dilaksanakan mulai 18 hingga 30 Julai lalu melibatkan 1,002 responden.
Proses pengumpulan data tersebut merangkumi seluruh 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan menggunakan kaedah persampelan rawak berstrata meliputi semua segmentasi kaum, jantina, umur, tahap pendidikan, tahap pendapatan, pekerjaan dan lokaliti yang berbeza.
Ujar firma penyelidikan berkenaan, ralat pensampelan kajian ialah 3.1 peratus dengan tahap keyakinan 95 peratus.
"Data kajian dianalisis secara kuantitatif berstatistik dan kualitatif bertematik. Selain itu, analisis statistik terhadap scoresheet keputusan PRU 2022 dan PRN Negeri Sembilan 2023 turut dilakukan untuk mendapatkan perspektif yang lebih mendalam," katanya.
Jelas ILHAM Centre, matlamat kajian pilihan raya yang dibuat pihaknya bukan sekadar membuat prediksi atau ramalan kalah menang parti bertanding.
Sebaliknya, lebih menumpukan advokasi kepada rakyat mengenai fenomena, tingkah laku pengundi dan elemen-elemen yang mempengaruhi pola pengundian dalam sesebuah pilihan raya ke arah pembentukan pendidikan demokrasi yang lebih matang dalam konteks politik bina negara.