SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) secara gabungan berpotensi menguasai 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, sekali gus berupaya membentuk blok majoriti stabil di negeri berkenaan.
Menurut dapatan kajian lapangan ILHAM Centre, unjuran itu dibuat berdasarkan beberapa faktor antaranya kombinasi kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sehingga membentuk gelombang Melayu-Islam lebih besar.
Ujar firma penyelidikan itu, keadaan tersebut mendorong landskap sokongan politik di Negeri Sembilan kini mengalami penyusunan semula yang ketara dengan memberi kelebihan konsisten kepada BN.
"Secara keseluruhan, unjuran ILHAM Centre menunjukkan BN dan PN secara gabungan berpotensi menguasai 22 kerusi DUN, sekali gus membentuk blok majoriti yang stabil, manakala PH pula dijangka memenangi minima sembilan kerusi.
"Sementara itu, PN dilihat memperoleh laba berganda hasil daripada konfigurasi pertandingan yang lebih strategik serta kesan limpahan sokongan Melayu yang semakin tersusun.
"Walaupun hanya bertanding beberapa kerusi, PN berjaya menyumbang kemenangan untuk melengkapkan majoriti selesa gabungan BN-PN," kata firma penyeldik itu pada Jumaat.
Menerusi dapatan kajian sama, terdapat lima kerusi yang sukar diramal iaitu Chennah, Linggi, Nilai, Repah dan Temiang.
Jelas ILHAM Centre , kerusi berkenaan memperlihatkan persaingan yang sangat dinamik dari segi demografi, sentimen tempatan serta pertembungan personaliti calon.
"Sekiranya BN berjaya menawan beberapa kerusi ini, BN-PN berupaya melepasi majoriti dua pertiga majoriti di dalam DUN Negeri Sembilan," katanya.
Kajian lapangan itu dilaksanakan mulai 18 hingga 30 Julai lalu melibatkan 1,002 responden.
Proses pengumpulan data tersebut merangkumi seluruh 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan menggunakan kaedah persampelan rawak berstrata meliputi semua segmentasi kaum, jantina, umur, tahap pendidikan, tahap pendapatan, pekerjaan dan lokaliti yang berbeza.
Ujar firma penyelidikan berkenaan, ralat pensampelan kajian ialah 3.1 peratus dengan tahap keyakinan 95 peratus.
"Data kajian dianalisis secara kuantitatif berstatistik dan kualitatif bertematik. Selain itu, analisis statistik terhadap scoresheet keputusan PRU 2022 dan PRN Negeri Sembilan 2023 turut dilakukan untuk mendapatkan perspektif yang lebih mendalam," uajrnya.