PORT DICKSON – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan manifesto BN akan tetap menjadi asas pelaksanaan sekiranya gabungan itu diberi mandat membentuk kerajaan Negeri Sembilan.
Beliau berkata, persefahaman yang terjalin antara BN dan Perikatan Nasional (PN) ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak mengubah komitmen BN untuk melaksanakan manifesto yang telah ditawarkan kepada rakyat.
Menurutnya, BN dan PN tidak mempunyai kerjasama rasmi, sebaliknya hanya menjalin persefahaman bagi menghadapi pilihan raya.
"Kita kena ada perjanjian. Kita tidak ada kerjasama secara rasmi. Kita cuma ada persefahaman.
"Manifesto BN adalah untuk BN dan kita akan laksanakan jika mandat diberikan semula nanti," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Ramah Mesra Bersama Komuniti Cina di Kampung Pachitan, Chuah di sini pada Rabu.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan BN dan PN mempunyai manifesto berbeza serta mempersoalkan manifesto mana akan dilaksanakan sekiranya kedua-dua gabungan itu membentuk kerajaan negeri.
Mengulas lanjut, beliau berkata, BN juga bersedia mengambil kira perkara yang terkandung dalam manifesto rakan persefahaman dan langkah itu bukan lah satu masalah.
"Dan tentunya kita akan rangkul sekali apa yang tersurat dan tersirat daripada rakan-rakan yang lain.
Saya fikir tidak ada sebarang permasalahan yang timbul jika pelaksanaannya dibuat kerana kita mencakupi semua lapisan masyarakat di Negeri Sembilan," katanya.
Ditanya sama ada manifesto kedua-dua gabungan itu akan diselaraskan, Ahmad Zahid berkata, usaha tersebut boleh dilaksanakan memandangkan kedua-dua pihak mempunyai matlamat yang sama.
"Sudah tentu. Kita menggembleng usaha bersama dan saya fikir tidak ada perbezaan antara mereka dengan kita. Saya percaya kita mampu bekerja bersama," katanya.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid turut mengulas kenyataan wartawan vateren, Datuk A. Kadir Jasin yang mendakwa orang Melayu masih belum boleh memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada UMNO kerana isu kleptokrasi.
"Saya ingat eloklah dia duduk diam-diam dalam bilik tidurlah," katanya ringkas.