Dakwaan persempadanan semula DUN, kurangkan kuasa Melayu, Islam disifatkan kempen tidak sihat

SEREMBAN - Dakwaan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 akan membawa kepada persempadanan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga mengurangkan kuasa Melayu dan Islam, merupakan kempen tidak sihat kerana cuba menakut-nakutkan rakyat.

Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, proses persempadanan semula sememangnya boleh dilakukan selepas tempoh lapan tahun sebagaimana diperuntukkan, namun pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri adalah jelas bagi memastikan tidak berlaku jurang terlalu besar dari segi jumlah pengundi antara DUN dalam sesebuah negeri.

"Kita tidak akan berkompromi dengan apa-apa perkara yang memberikan gambaran seolah-olah mahu mengurangkan kuasa Melayu atau Islam. Bagi saya, dakwaan seperti itu merupakan kempen yang tidak sihat kerana cuba menakut-nakutkan rakyat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Biro Negeri Sembilan, di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menyatakan bahawa kemenangan PH di Negeri Sembilan berpotensi mengubah landskap politik negeri itu menerusi pertambahan jumlah kerusi DUN.

Takiyuddin dilaporkan berkata, kawasan DUN yang mempunyai jumlah pengundi besar dan kini diwakili PH berkemungkinan dipecahkan kepada beberapa kawasan baharu pada masa hadapan.

Sementara itu, Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR berkata, rekod pentadbiran Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam pembangunan syiar Islam di negeri ini wajar dijadikan asas pertimbangan pengundi pada PRN Sabtu ini, berbanding melayan dakwaan yang tidak berasaskan fakta.

Beliau berkata, dakwaan tidak berasas pihak lawan hanya bertujuan menakut-nakutkan pengundi, sedangkan prestasi kerajaan negeri menunjukkan bahawa komitmen berterusan dalam semua aspek, terutama terhadap pembangunan institusi Islam serta kebajikan masyarakat Islam.

"Kita tahu mungkin sukar untuk Takiyuddin mengiktiraf bahawa di bawah pentadbiran Tok Min (Aminuddin), jumlah masjid baharu yang dibina di bawah kerajaan ini adalah yang paling besar.

"Jumlah kutipan zakat juga yang paling tinggi, manakala pemberian elaun kepada imam dan sebagainya turut antara yang paling tinggi berbanding zaman-zaman dahulu,” katanya.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9. - Bernama