Ahmad Fadhli persoal kerajaan baru kini dedah laporan RCI Tabung Haji

SHAH ALAM – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan tindakan kerajaan yang hanya kini bersetuju mendedahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji sedangkan laporan itu telah lama disiapkan.

Beliau berkata, keputusan Kabinet itu sememangnya dialu-alukan, namun timbul persoalan mengapa laporan berkenaan tidak didedahkan sebaik sahaja RCI menyelesaikan siasatannya.

Menurutnya, kerajaan juga mengumumkan siasatan oleh pihak berkuasa akan disambung semula serta-merta dan mana-mana individu yang melanggar undang-undang akan dibawa ke muka pengadilan.

"Kalau begitu, adakah ini bermakna selama ini kerajaan sengaja membiarkan pihak yang didakwa melanggar undang-undang tidak disiasat? Atas sebab apa perkara itu dibiarkan berlaku?

"Reformasi jenis apa jika keadilan yang sepatutnya ditegakkan dengan segera tidak dilaksanakan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Kabinet dilaporkan bersetuju mendedahkan laporan RCI berkaitan Lembaga Tabung Haji kepada umum.

Kerajaan turut memutuskan supaya siasatan oleh pihak berkuasa disambung serta-merta dan mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang akan dihadapkan ke mahkamah.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli mendakwa tindakan menyimpan laporan tersebut selama bertahun-tahun menimbulkan persepsi bahawa ia hanya didedahkan berdasarkan kepentingan politik semasa.

Beliau turut mempersoalkan sama ada masih terdapat laporan atau dokumen lain yang belum didedahkan kepada rakyat.

"Jika laporan sepenting ini pun boleh disorokkan bertahun-tahun, apakah jaminan tiada lagi perkara lain yang turut disembunyikan oleh kerajaan?

"Justice delayed is justice denied'," katanya.