Perkukuh agenda kemajuan negeri

PEMBANGUNAN sesebuah negeri bukan sahaja bergantung kepada dasar kerajaan, malah memerlukan sokongan serta kerjasama erat daripada rakyat.

Bagi memastikan kemajuan dapat dinikmati secara menyeluruh, Negeri Sembilan terus memberi tumpuan kepada pembangunan yang seimbang meliputi aspek ekonomi, pendidikan, infrastruktur dan kesejahteraan sosial.

Di kawasan Palong, Seri Menanti dan Gemencheh, pelbagai potensi masih boleh diperkasakan menerusi kepimpinan yang memahami keperluan penduduk dan komited membawa aspirasi masyarakat ke peringkat lebih tinggi.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar berkata, beliau mahu memastikan agenda pembangunan dirancang di kawasan itu dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, tempoh perkhidmatannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum ini selama dua tahun lapan bulan masih belum mencukupi untuk merealisasikan semua perancangan yang telah dirangka.

"Keutamaan saya adalah meningkatkan kemudahan asas, memperkukuh ekonomi setempat, buka lebih banyak peluang kepada golongan belia dan usahawan, selain pastikan kebajikan rakyat terus menjadi fokus," katanya.

**media[3597991]**

Beliau berkata, pembangunan yang dibawa perlu bersifat inklusif dan tidak hanya memanfaatkan kelompok tertentu.

Justeru katanya, beliau akan terus mendekati rakyat bagi memahami sendiri keperluan mereka supaya setiap dasar dan projek pembangunan benar-benar memberi impak kepada masyarakat.

Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh pengundi Gemencheh supaya menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian kerana pilihan yang dibuat akan menentukan hala tuju pembangunan kawasan itu bagi tempoh lima tahun akan datang.

"Sekiranya diberi kepercayaan sekali lagi, saya akan terus menjalankan amanah dengan penuh tanggungjawab, mendengar suara rakyat dan bekerja bersungguh-sungguh demi kemajuan Gemencheh.

Tingkatkan keselesaan penduduk

Dalam pada itu, bagi calon BN DUN Palong, Datuk Mustapha Nagoor berkata, antara keutamaan beliau ialah memastikan projek pelebaran jalan utama dan pencahayaan di kawasan itu dapat direalisasikan bagi menyokong pembangunan serta meningkatkan keselesaan penduduk.

Menurutnya, walaupun projek berkenaan telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) ia memerlukan perhatian berterusan daripada wakil rakyat supaya dapat dilaksanakan mengikut jadual.

"Selain pelebaran jalan, saya juga mahu memastikan kemudahan lampu jalan dan pencahayaan dipertingkatkan dan penyelesaian Rumah Generasi Kedua dan pembahagian lot tanah dapat diselesaikan bagi memenuhi keperluan penduduk, khususnya golongan muda.

"Sebagai wakil rakyat, kita perlu memastikan setiap perancangan yang telah diluluskan benar-benar sampai kepada rakyat," katanya.

**media[3597992]**

Beliau yang juga penyandang kerusi itu turut mengingatkan pengundi supaya membuat pilihan berdasarkan rekod prestasi dan pembangunan yang telah dibuktikan.

"Data tidak pernah menipu. Rakyat boleh menilai sendiri siapa yang benar-benar membawa pembangunan kepada kawasan mereka," katanya.

Pembangunan tersusun

Sementara itu bagi calon BN yang juga penyandang kerusi DUN Seri Menanti, Muhammad Sufian Maradzi mahu meneruskan pembangunan yang tersusun bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati seluruh penduduk.

Beliau berkata, tumpuan diberikan kepada pembangunan yang mampu memperkukuh ekonomi, memupuk perpaduan serta menambah baik kemudahan asas termasuk bekalan air, jalan raya dan elektrik.

"Apa yang penting ialah pembangunan yang memberi manfaat kepada masyarakat melibatkan aspek ekonomi, perpaduan dan kemudahan asas seperti bekalan air, jalan raya serta elektrik supaya tiada kawasan yang tercicir.

"Kita tidak menjanjikan bulan dan bintang, sebaliknya menawarkan kestabilan dan kemakmuran demi kesejahteraan masyarakat," katanya.

Menurut beliau, dalam tempoh lima tahun akan datang, Seri Menanti diharap terus berkembang dengan lebih banyak peluang pekerjaan, kemudahan awam yang lebih baik serta pembangunan yang dapat dinikmati semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia atau latar belakang.