SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) mahu menjadi rakan yang mampu mengukuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan dan tidak mahu pentadbiran negeri itu berada dalam keadaan seperti telur di hujung tanduk.
Ketua Penerangan Parti Wawasan Negara (Wawasan), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pihaknya ikhlas untuk melihat kejayaan kerajaan BN Negeri Sembilan.
Beliau menambah, pihak mereka juga yakin mampu memenangi beberapa kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bagi menyertai pentadbiran negeri.
**media[3598056]**
"Kita memang ikhlas dan jujur untuk melihat keberjayaan kerajaan BN Negeri Sembilan, yang mana Insya-ALLAH kami akan menang beberapa kerusi dan menyertainya. Jadi kita tak nak kerajaan BN Negeri Sembilan ini seperti telur di hujung tanduk.
"Sebab itu kami merayu kepada semua pengundi, khususnya pengundi muda, 1 Ogos ini jangan bazirkan undi dengan Parti Merah. Jangan sebab Parti Merah hanya akan bawa balik kepada satu corak yang lama. Untuk ubah dan stabilkan Negeri Sembilan, kena undi gelombang biru," katanya.
Beliau berkata sedemikian pada program Berani Semuka Sinar Harian bertajuk 'Seteru Jadi Kawan, Kawan Jadi Seteru: Politik Matang atau Huru-Hara' yang dihoskan oleh Ismail Adnan pada Selasa.
Antara panelis lain termasuklah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii dan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd Hasbie Muda.
**media[3598059]**
Menurutnya, parti yang diwakili gabungan itu mempunyai pengalaman mentadbir selain tidak dibelenggu unsur yang dilihatnya sebagai toksik.
"Untuk ubah dan stabilkan Negeri Sembilan, kena undi gelombang biru.Sebab Parti Biru ini dah biasa mentadbir dan Parti Biru ini tidak ada parti toksik dalam itu.
"Jadi Insya-ALLAH saya yakin semua kaum boleh terima Parti Biru. Situasinya ada di Johor," katanya.