SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Razlan Rafii tidak menolak kemungkinan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mampu menjalin kerjasama lebih erat pada masa depan sekiranya ia selari dengan kehendak rakyat.
Beliau berkata, selepas lebih tiga tahun bersama Kerajaan Perpaduan, UMNO sentiasa mendapatkan maklum balas daripada akar umbi menerusi pertemuan di peringkat cawangan dan bahagian.
Menurutnya, pelbagai isu yang dibangkitkan ahli serta penyokong parti menunjukkan masih terdapat perkara yang belum diselesaikan sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan orang Melayu.
"Kita kena pastikan denyut nadi rakyat. Bila turun ke bawah, kita bertanya hati ke hati mengenai perkara yang masih tidak selesai.
"Setiap tahun kita ada Perhimpunan Agung UMNO di cawangan dan bahagian. Daripada situ kita dapat lihat ada perkara yang masih menjadi kebimbangan rakyat," katanya.
**media[3598003]**
Beliau berkata demikian dalam program Berani Semuka Sinar Harian yang membincangkan tajuk 'Seteru Jadi Kawan, Kawan Jadi Seteru: Politik Matang atau Huru-hara', yang turut menampilkan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Hasbie Muda dan Ketua Penerangan Parti Wawasan Negara (Wawasan), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Dalam pada itu Razlan menjelaskan, keputusan BN memperoleh sokongan besar pengundi Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selain menerima undi daripada masyarakat Cina dan India menunjukkan masih wujud keyakinan rakyat terhadap gabungan itu.
**media[3598002]**
Malah menurutnya, keadaan itu secara tidak langsung menggambarkan terdapat sebahagian rakyat yang merindui era pentadbiran BN kerana merasakan dasar-dasar lebih mengambil kira pandangan masyarakat sebelum sesuatu keputusan besar dilaksanakan.
"Ini semua menggambarkan bahawa kadang-kadang orang merasakan rindu zaman BN. Bukan bermaksud mereka menolak pihak lain, tetapi mereka mahukan kestabilan dan suara rakyat didengar sebelum sesuatu dasar dilaksanakan.
"Bagi saya, kita perlu lihat apakah sebenarnya kehendak rakyat, namun setiap keputusan yang dibuat di peringkat kepimpinan perlu mengambil kira sama ada ia memberi manfaat atau memudaratkan parti," tegasnya.