Rakyat nilai prestasi bukan sekadar nama

SETIAP kali pilihan raya berlangsung, pengundi lazimnya ditawarkan dengan pelbagai slogan, janji dan manifesto, namun rekod kepimpinan seseorang calon dilihat kekal menjadi ukuran paling utama sebelum pengundi membuat pilihan.

Dalam demokrasi yang semakin matang, kecenderungan pengundi juga dilihat semakin beralih daripada menilai populariti individu kepada prestasi sebenar sepanjang memegang amanah sebagai wakil rakyat atau pentadbir.

Rekod pentadbiran, pencapaian pembangunan, keupayaan menarik pelaburan, penyelesaian isu rakyat serta tahap integriti ketika ini dianggap antara penanda aras utama yang sukar dipisahkan daripada penilaian pengundi.

Dalam konteks Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang dijadual berlangsung pada 1 Ogos ini, perhatian tertumpu kepada tiga tokoh utama iaitu penyandang Menteri Besar dari Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Aminuddin Harun yang bertanding di kerusi DUN Linggi; Datuk Seri Jalaluddin Alias dari Barisan Nasional (BN) yang bersaing di DUN Pertang dan Datuk Seri Mohamad Hasan, juga dari BN yang bertanding mempertahankan DUN Rantau.

Ketiga-tiga nama besar ini boleh dinilai daripada aspek perkhidmatan kepada rakyat, pembangunan kawasan, keupayaan mentadbir, integriti serta keberanian membuat keputusan.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi MARA, Dr Ariff Aizuddin Azlan berkata, pengalaman seseorang pemimpin ketika memegang jawatan menjadi petunjuk paling jelas terhadap keupayaannya mentadbir apabila diberi mandat.

Beliau berkata, rekod pentadbiran yang boleh dinilai berdasarkan pencapaian sebenar lebih penting berbanding persepsi kerana ia membuktikan kemampuan seseorang pemimpin mengurus kerajaan dan memenuhi kehendak rakyat.

**media[3594958]**

Sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan sejak 2018 atau The Statesman, Aminuddin dilihat membawa pengalaman pentadbiran yang telah diuji ketika negeri berdepan pelbagai cabaran terutama ketika pandemik Covid-19, pemulihan ekonomi dan usaha menarik pelaburan baharu.

Ariff Aizuddin menegaskan, tidak timbul keraguan terhadap sumbangan Aminuddin sepanjang memimpin negeri kerana rekod pentadbirannya menjadi antara faktor beliau terus diberi kepercayaan menerajui kerajaan.

Ketika Covid-19 juga, kerajaan Negeri Sembilan turut melancarkan pelbagai pakej bantuan bagi membantu rakyat termasuk menawarkan pengecualian dan pengurangan sewa gerai pihak berkuasa tempatan dan menyalurkan bantuan tunai ihsan sebanyak RM1,000 kepada waris pesakit yang meninggal dunia akibat pandemik itu.

Antara komitmen kerajaan negeri di bawah pentadbiran Aminuddin juga ialah dari segi penyediaan Rumah Mampu Milik (RMM) yang menjadi antara agenda utama bagi memastikan lebih ramai rakyat memiliki kediaman sendiri.

Sejak Jun 2018 sehingga Februari 2025, sebanyak 26,548 unit RMM telah disediakan di Negeri Sembilan melibatkan kawasan tumpuan penduduk serta lokasi yang mempunyai permintaan tinggi.

“Keberanian Aminuddin membuat keputusan sepanjang memimpin negeri selari dengan kehendak rakyat selain disokong oleh rekod integriti yang baik serta tidak dikaitkan sebarang kontroversi besar,” ujarnya.

Sementara itu, Ariff Aizuddin berpandangan, Jalaluddin pula memainkan peranan signifikan sebagai pemimpin utama BN di Negeri Sembilan dengan membawa pendekatan pembangunan yang tidak hanya berasaskan kepentingan parti.

Beliau berkata, pelbagai jawatan yang digalas terutamanya sebagai ADUN, Exco kerajaan negeri serta Ahli Parlimen Jelebu memberikan Jalaluddin pendedahan luas dalam pentadbiran.

"Antara usaha yang dilaksanakan ialah pembinaan baharu, menaik taraf dan membaik pulih taman permainan di kampung, tadika dan taska di Parlimen Jelebu dengan peruntukan RM265,000, bagi menyediakan kemudahan rekreasi yang lebih selamat, selesa dan mesra keluarga demi manfaat komuniti setempat." ujar beliau.

“Pengalaman serta sumbangan Jalaluddin kepada kawasan menjadikan beliau antara tokoh yang mempunyai potensi besar sekiranya BN berjaya membentuk kerajaan negeri,” ujarnya.

**media[3594959]**

Mohamad atau lebih mesra digelar Tok Mat pula merupakan antara figura yang sangat berpengaruh selepas menerajui Negeri Sembilan sebagai Menteri Besar selama hampir 15 tahun.

Beliau berkata, pengalaman pentadbiran Tok Mat bukan sahaja terhad di peringkat negeri, malah terus berkembang apabila diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Pertahanan pada 2022 hingga 2023 sebelum bergelar Menteri Luar pada 2023 hingga kini. Ia sekali gus memberinya pendedahan luas dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan serta penggubalan dasar di peringkat nasional.

Gabungan pengalaman di peringkat negeri dan pusat menjadikan Tok Mat antara pemimpin yang mempunyai kefahaman tinggi mengenai hubungan antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan dalam merancang pembangunan.

Ariff Aizuddin berkata, pengaruh Tok Mat terbukti menerusi kejayaannya memenangi DUN Rantau dan Parlimen Rembau selain meninggalkan legasi penting dalam pembangunan Negeri Sembilan.

“Tok Mat berjaya meletakkan Negeri Sembilan sebagai negeri perindustrian dengan menarik pelaburan luar yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan,” kata beliau.

Kelebihan tersendiri

Secara keseluruhannya, Ariff Aizuddin berpandangan ketiga-tiga tokoh mempunyai kekuatan berdasarkan pengalaman, rekod pentadbiran serta sumbangan masing-masing kepada Negeri Sembilan.

Namun, beliau berkata, Aminuddin mempunyai kelebihan tersendiri sebagai penyandang kerana rekod pentadbiran beliau boleh dinilai secara langsung oleh pengundi sepanjang menerajui kerajaan negeri sejak 2018.

Katanya, keupayaan Aminuddin mengurus negeri ketika berdepan cabaran besar termasuk pandemik Covid-19, selain meneruskan agenda pembangunan serta menjaga kebajikan rakyat, menjadi antara faktor yang membezakan beliau berbanding calon lain.

"Prestasi pentadbiran sejak 2018 dilihat memberi kelebihan kepada beliau kerana pengundi boleh menilai sendiri apa yang telah dilaksanakan sepanjang memegang jawatan Menteri Besar.

"Rekod pentadbiran yang baik ini juga mengukuhkan naratif PH bahawa mereka mampu meneruskan kesinambungan pemerintahan berdasarkan pencapaian yang telah dilaksanakan, selain menjadikan faktor prestasi sebagai antara kekuatan utama dalam kempen kali ini," ujarnya.