Fahmi sangkal dakwaan KJ, yakin rakyat nilai prestasi Aminuddin

JEMPOL – Dakwaan bahawa Pakatan Harapan (PH) hanya mampu meraih kurang 10 peratus sokongan pengundi Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu disifatkan sebagai sekadar pandangan politik, bukan gambaran sebenar sokongan rakyat.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, beliau yakin rakyat Negeri Sembilan mampu menilai prestasi pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

"Saya percaya situasi di Negeri Sembilan jauh berbeza dan saya percaya rakyat Negeri Sembilan bijak, faham dan fasih tentang kejayaan dan keupayaan pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

"Saya lihat Datuk Seri Aminuddin Harun telah berkhidmat dengan cukup cemerlang menjaga orang Melayu, Cina, India, orang asal rakyat Negeri Sembilan dengan sangat baik," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Wayang Pacak di Pekan Rompin pada Sabtu.

Sebelum ini, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyeru PH bermuhasabah terhadap kegagalan menarik sokongan pengundi Melayu.

Khairy dilaporkan berkata, berdasarkan satu kajian yang dijalankan pihaknya, calon PH memperoleh kurang daripada 10 peratus undi Melayu pada PRN Johor lalu.

Sebagai rekod, dalam PRN Johor 2026, Barisan Nasional (BN) menperoleh 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PH memegang lapan kerusi.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, kerajaan kekal memberi tumpuan kepada usaha memulihkan ekonomi negara dan tidak membincangkan soal mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) dalam masa terdekat.

Menurutnya, fokus pentadbiran ketika ini adalah menangani cabaran ekonomi susulan konflik di Asia Barat, selaras dengan penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Fokus pentadbiran sekarang ini sebenarnya seperti yang Perdana Menteri telah sebutkan bukan politik berpanjangan, bukan pilihan raya berpanjangan tapi adalah untuk mengatasi masalah-masalah ekonomi akibat daripada konflik di Asia Barat.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menjangkakan PRU diadakan lebih awal, malah mengesahkan akan mempertahankan kerusi Parlimen Rembau pada PRU kelak.

Menurutnya, terdapat kemungkinan Parlimen dibubarkan seawal hujung tahun ini sekiranya Perdana Menteri melihat keadaan semasa sesuai untuk mengadakan pilihan raya.

Bagaimanapun, katanya, tempoh hayat Parlimen masih boleh berlanjutan sehingga pertengahan tahun depan.

Mengulas lanjut mengenai PRU itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi turut menyifatkan perkara tersebut sebagai pandangan Mohamad.

"Saya lihat itu adalah sekadar pandangan Datuk Seri Mohamad Hasan, pandangan peribadi beliau.

"Setakat ini juga tiada lansung perbincangan mengenainya (PRU), malah kalau ditanya Perdana Menteri juga secara terbuka telah menyatakan Pilihan Raya Umum tidak akan diadakan sekarang. Mungkin akan diadakan pada tahun hadapan," katanya.