PORT DICKSON – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan dakwaan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerjasama antara BN dan Perikatan Nasional (PN) semakin longgar hanyalah satu telahan politik.
Menurut beliau, setiap pihak berhak mengemukakan pandangan masing-masing, namun hubungan antara BN dan PN ketika ini dibina atas dasar persefahaman yang baik dan akan dinilai rakyat menerusi keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini.
"Itu pandangan beliau tetapi kami mempunyai persefahaman yang penting dan kita akan lihat keputusannya pada 1 Ogos nanti.
"Apa pun telahan yang dibuat oleh beliau dan tanggapan itu adalah hak beliau tetapi kami telah membina keserasian dan kita akan terjemahkan keserasian ini dengan keputusan yang akan kita sama-sama lihat pada 1 Ogos ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Kaum India Negeri Sembilan di Lukut di sini Sabtu.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Muhyiddin yang sudah menjangkakan hubungan kerjasama BN dan PN semakin longgar susulan beberapa kenyataan pemimpin kedua-dua gabungan berkenaan.
Sementara itu, mengulas dakwaan Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun bahawa manifesto PN sekadar meniru manifesto PH, Ahmad Zahid berkata, isu sama tidak sepatutnya dijadikan polemik politik.
Sebaliknya, beliau menjelaskan manifesto BN Negeri Sembilan merupakan dokumen yang dibangunkan sejak sekian lama dan sentiasa ditambah baik mengikut keperluan semasa.
"Tidak timbul soal 'copy-paste' kerana daripada 2004 hingga 2018 manifesto itu telah kami garapkan dan ini dilakukan untuk menambah baik daripada apa yang telah sedia ada.
"Kita tidak mahu apa yang mereka lakukan di Johor tidak dianggap sebagai 'copy-paste', tetapi apabila kami melakukannya pula dituduh sedemikian," katanya.
Menurut beliau, matlamat utama BN adalah memastikan agenda pembangunan yang pernah dirancang dapat diteruskan selepas tidak berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum 2018.
"Sebenarnya kami mempunyai tujuan yang sama iaitu melakukan kesinambungan terhadap agenda yang tergendala apabila kami tidak cukup kerusi untuk membentuk kerajaan pada tahun 2018.
"Maka Datuk Seri Mohamad Hasan berhak sebagai untuk meneruskan kesinambungan agenda ini. Saya fikir beliau akan melakukannya dengan lebih baik bersama-sama kepimpinan Barisan Nasional, khususnya parti-parti komponen BN di Negeri Sembilan," katanya.