Manifesto PH 'boleh jual’

SHAH ALAM – Cadangan pembangunan Seremban Sentral dan meningkatkan kekerapan komuter Seremban-Kuala Lumpur (KL) serta pembinaan Pintasan Senawang-Port Klang dilihat antara tawaran paling menarik dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) yang berpotensi memberi nilai tambah kepada kempen gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Afifi Abdul Razak berkata, projek-projek berimpak tinggi berkenaan lebih mudah diterjemahkan kepada manfaat yang boleh dirasai rakyat berbanding komitmen dasar yang lebih bersifat umum.

Katanya, tawaran tersebut menyentuh isu harian pengundi termasuk kesesakan lalu lintas, sistem pengangkutan awam dan kemudahan kesihatan.

“Bagi saya, lima projek berimpak tinggi yang digariskan antara elemen paling konkrit dan ‘menjual’ dalam manifesto ini.

“Ia menyentuh isu harian rakyat secara langsung. Isu kesesakan dan ketersambungan sistem pengangkutan Seremban-KL adalah keluhan lama rakyat negeri itu yang bekerja di Lembah Klang. Janji sebegini lebih mudah dirasai berbanding tawaran makro seperti ekonomi berdaya saing,” katanya.

PH pada Isnin malam mengumumkan manisfesto bertema ‘Kekal Harapan’ bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 yang menggariskan 10 komitmen utama termasuk lima projek berimpak tinggi.

Tiga lagi projek berimpak tinggi terbabit ialah pembinaan hospital baharu di Bandar Enstek, Nilai; pelaburan antarabangsa baharu di Port Dickson dan pembinaan Rumah Kedua di lot kediaman Felda.

Manifesto berkenaan turut meliputi usaha mengekalkan kerajaan stabil, bersih dan mesra rakyat; memperkasa Skim Sejahtera Rakyat (SSR), ekonomi berdaya saing dan mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi, pendidikan berkualiti untuk semua serta membina 20,000 rumah mampu milik dan penyelesaian isu tanah.

Justeru, Muhammad Afifi berkata, jika PH mahu manifesto itu benar-benar memberi nilai tambah, kempen di lapangan perlu memberi penekanan lebih kepada projek fizikal dan konkrit tersebut berbanding hanya membaca senarai 10 komitmen secara umum.

Menurutnya, ia kerana pengundi lazimnya lebih mudah diyakinkan oleh sesuatu yang boleh mereka bayangkan dan lihat kesannya secara langsung.

“Manifesto ini juga perlu dilihat dalam konteks kedudukan PH yang agak selesa di Negeri Sembilan berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung. Dalam PRN 2023, gabungan PH-Barisan Nasional (BN) menang 31 daripada 36 kerusi, dengan PH sendiri memenangi 17 kerusi berbanding BN 14 kerusi manakala PN hanya mampu meraih lima kerusi.

“Ini bermakna PH sudah memiliki asas sokongan yang agak kukuh untuk dipertahan,” ujarnya

Sementara itu, Felo Penyelidik AEGIS Research, Dr Hussain Yusri Zawawi berpandangan, tawaran paling berpotensi memberi nilai tambah kepada PH ialah komitmen mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi serta usaha menarik pelaburan baharu.

“Isu kos sara hidup dan peluang pekerjaan masih jadi kebimbangan utama rakyat, khususnya golongan muda. Sekiranya PH berjaya meyakinkan pengundi bahawa sasaran ini mampu dicapai melalui pelaburan yang berkualiti, ia boleh menjadi antara faktor yang mempengaruhi sokongan,” tegasnya.

Secara keseluruhan, Hussain Yusri menjelaskan, manifesto PH dilihat lebih menekankan aspek ekonomi, kebajikan dan pembangunan infrastruktur berbanding retorik politik.

Kata beliau, cabaran utama sepanjang kempen ialah bagaimana PH dapat menghubungkan setiap tawaran tersebut dengan pengalaman sebenar rakyat serta meyakinkan pengundi bahawa ia bukan sekadar janji pilihan raya tetapi mampu direalisasikan.