KUALA LUMPUR - Penyertaan Parti Bersama Malaysia (Bersama) dalam pilihan raya tanpa kerjasama dengan mana-mana gabungan politik berpotensi mengganggu keputusan undian parti lain, khususnya Pakatan Harapan (PH).
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Abbas Azmi berkata, situasi itu boleh berlaku sekiranya parti pimpinan Datuk Seri Rafizi Ramli itu hanya memperoleh sokongan kecil dan gagal memenangi kerusi ditandingi.
Katanya, objektif utama mana-mana parti yang bertanding dalam pilihan raya adalah untuk menang dan seterusnya membentuk kerajaan, bukannya sekadar bertanding secara bersendirian.
Menurut beliau, sejarah politik negara membuktikan tiada parti yang mampu membentuk kerajaan secara bersendirian tanpa sokongan rakan strategik dalam sesebuah gabungan.
“Kalau adanya Parti Bersama, contohnya masuk bertanding dan mendapat sedikit sokongan tetapi tidak cukup untuk menang, ia boleh mengganggu sokongan atau undian parti-parti lain, terutamanya PH.
“Kita perlu kembali kepada asas pilihan raya, iaitu untuk menang. Jika ada parti bertanding secara bersendirian, bukan sahaja tidak boleh menang, malah boleh dianggap mengganggu keputusan undian mana-mana parti sama ada PH, Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN),” katanya hari ini.
Abbas bagaimanapun mengakui sistem demokrasi negara memberi ruang kepada mana-mana parti untuk bertanding dalam pilihan raya.
Namun katanya, setiap penyertaan perlu disertai strategi yang realistik bagi mencapai matlamat membentuk kerajaan.
“Sudah pasti strategi kita adalah untuk menang pilihan raya. Kalau kita pergi bersendirian sejarah telah membuktikan tidak ada mana-mana parti yang boleh mengepalai ataupun ketuai kerajaan dengan memasuki pilihan raya bersendiri.
“Jadi saya kira itu perlu diambil perhatian khusus supaya medan pilihan raya ini tidak menjadi sesuatu yang sia-sia dan sudah pasti setiap parti yang masuk bertanding mengimpikan untuk menang dan membentuk kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, mana-mana parti yang bergerak sendiri sudah pasti ia tidak memberi apa-apa kelebihan, bahkan peratusan untuk kekalahan itu sangat tinggi dan akhirnya gagal mencapai objektif dalam mana-mana pilihan raya.
Dalam konteks Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, katanya, sudah pasti setiap parti mahu menjadi pemenang untuk meraih sokongan dan undi daripada rakyat.
Justeru katanya, strategi itu kena betul dan kalau bersendiri ia tidak memberi apa-apa manfaat bahkan boleh memecah-belahkan lagi undi.
“Jadi mana-mana pihak termasuk Parti Bersama perlu memikirkan strategi untuk bersama dengan mana-mana koalisi politik supaya objektif kita untuk memastikan parti yang akan mengemudi negeri dan negara itu adalah sebuah parti yang betul-betul menepati kepada inspirasi rakyat Malaysia itu sendiri.
“Apa yang paling penting ialah matlamat kita adalah untuk memastikan kestabilan politik dalam negeri dan negara kita dan itulah yang boleh menjamin kemajuan ekonomi negara dan negeri pada masa yang akan datang,” katanya.
Sebelum ini, Tony Pua meminta pengundi terus menyokong Pakatan Harapan (PH) pada PRU16, sambil mendakwa Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi, akan menjadi perdana menteri jika sebaliknya berlaku.
Bekas Ahli Parlimen Damansara itu berkata, tindakan mengundi parti ‘pengacau’ atau langsung tidak keluar mengundi pada PRU16 akan memberikan kelebihan kepada BN.
Label ‘parti pengacau’ dilontarkannya dipercayai merujuk Parti Bersama Malaysia pimpinan Rafizi Ramli, yang telah memecahkan undi PH sehingga menjurus kekalahan gabungan itu di dua kerusi pada PRN Johor, hujung minggu lalu.