SHAH ALAM - Spekulasi kerjasama politik membabitkan beberapa parti politik boleh dianggap sebagai 'belon percubaan politik' bagi menguji reaksi akar umbi, rakan gabungan serta pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, naratif berkenaan sengaja dibiarkan berkembang bagi mengukur tahap penerimaan pelbagai pihak sebelum sebarang keputusan rasmi dibuat.
"PRN Negeri Sembilan menjadi medan ujian kerana Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mempunyai kepentingan untuk mengelakkan pertembungan yang boleh memecahkan undi.
"(Pengerusi BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid (Hamidi) sendiri menjelaskan bahawa terdapat persefahaman bagi mengelakkan pertindihan calon, namun belum menjadi perjanjian politik yang mengikat.
"Beliau juga menyatakan keberkesanan pendekatan akan dinilai sebelum dipertimbangkan (dilaksana) di Melaka dan Pilihan Raya Umum ke-16," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum ini Ahmad Zahid menepis spekulasi penganjuran satu pertemuan melibatkan pimpinan utama BN, PN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Mohammad Tawfik berpandangan, meskipun Ahmad Zahid menafikan kewujudan perjanjian rasmi, penyebaran spekulasi itu tetap memberi kesan kepada persepsi rakyat.
Beliau menjelaskan, penafian tersebut mungkin tidak menghapuskan persoalan kerana masyarakat melihat terdapat perbezaan antara 'tiada perjanjian rasmi' dengan 'tiada kerjasama langsung'.
"Spekulasi ini boleh menimbulkan persepsi bahawa parti-parti lebih mengutamakan percaturan kuasa berbanding prinsip dan dasar.
"Dari sudut strategi, ia membantu pemimpin parti membiasakan penyokong dengan kemungkinan kerjasama baharu," ujarnya.
Sementara itu Pakar Perang Saraf dan Penganalisis Keselamatan dan Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Nirwandy Mat Noordin berkata, spekulasi sememangnya lumrah dalam setiap pilihan raya, namun semua pihak perlu memastikan naratif yang dimainkan tidak menghakis keyakinan rakyat dan pelabur terhadap negara.
"Spekulasi politik yang timbul menjelang PRN Negeri Sembilan tidak seharusnya dibiar berkembang sehingga menjejaskan kestabilan politik, sebaliknya perlu dilihat sebagai sebahagian daripada dinamik politik yang matang.
"Pada waktu ini, kestabilan politik negara perlu diutamakan kerana ia berkait rapat dengan keyakinan pelabur serta kemakmuran negara.
"Perbezaan ideologi antara parti sepatutnya diterjemahkan melalui persaingan sihat, bukannya melalui penyebaran spekulasi atau sentimen yang boleh mengganggu kestabilan sosial dan politik," ujarnya.