Dialog PRN Johor: Mengapa wakil PN, Bersama, MUDA dan PSM tidak dijemput?

JOHOR BAHRU - Pemuda UMNO Johor mempersoalkan tahap kebebasan dan neutraliti institusi awam susulan dakwaan penglibatan jabatan serta agensi kerajaan dalam satu program ketika tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sedang berlangsung.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, rakyat berhak mendapatkan penjelasan berhubung penganjuran program berkenaan, khususnya apabila kerajaan Persekutuan diterajui oleh gabungan yang turut bertanding dalam PRN kali ini.

Menurutnya, persoalan utama yang perlu dijawab ialah mengapa jabatan di bawah kerajaan Persekutuan termasuk Jabatan Penerangan dan agensi berkaitan dilibatkan dalam program yang boleh menimbulkan persepsi tidak berkecuali.

“Rakyat berhak bertanya mengapa agensi kerajaan terlibat, apakah mekanisme yang diwujudkan bagi memastikan sikap berkecuali dipelihara dan mengapa program tersebut tidak diadakan di lokasi yang benar-benar neutral.

“Sekiranya matlamatnya adalah memberi ruang sama rata kepada semua parti bertanding, mengapa wakil PN, Bersama, MUDA dan PSM tidak turut dijemput?” katanya dalam kenyataan.

Noor Azleen dalam muat naik di Facebook turut berkongsi surat jemputan Jabatan Penerangan Negeri Johor mengenai Dialog Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung di RTM Johor pada malam Selasa.

Beliau turut mempersoalkan penggunaan sumber, peruntukan serta kemudahan kerajaan dalam menjayakan program berkenaan selain meminta penjelasan mengenai garis pemisah antara komunikasi rasmi kerajaan dengan aktiviti yang boleh dikaitkan dengan kepentingan politik.

Katanya, isu berkenaan bukan bertujuan membuat tuduhan, sebaliknya berkaitan soal akauntabiliti dan keyakinan rakyat terhadap institusi awam.

“Dalam demokrasi yang matang, institusi awam bukan sahaja perlu berkecuali, malah mesti dilihat berkecuali.

“Institusi kerajaan adalah milik seluruh rakyat Malaysia, bukan milik mana-mana kerajaan yang memerintah pada sesuatu masa,” katanya.

Beliau menegaskan, setiap institusi kerajaan perlu memastikan tiada persepsi bahawa ia memihak kepada mana-mana parti atau gabungan politik sepanjang tempoh pilihan raya.

“Ini adalah standard yang sepatutnya rakyat Malaysia harapkan daripada mana-mana kerajaan tanpa mengira siapa yang memerintah,” katanya.