SEREMBAN - Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menempelak Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang masih memainkan sentimen perkauman dengan mendakwa kononnya orang Melayu terancam sekiranya bukan UMNO-Barisan Nasional (BN) yang memerintah Negeri Sembilan.
Menurut beliau, dakwaan sedemikian merupakan taktik politik lapuk yang tidak lagi relevan.
"Selalu kata Melayu terancam, ini taktik lama. Apa yang terancam? Di Negeri Sembilan semuanya ok sahaja.
"Menteri Besar tetap orang Melayu dan program serta dasar kerajaan yang menjaga kepentingan rakyat termasuk orang Melayu terus dilaksanakan sejak Pakatan Harapan (PH) mentadbir negeri ini pada 2018," katanya ditemui pemberita selepas program perasmian Celik Madani dan Dharma Madani Zon Selatan di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian mengulas ucapan Khairy di Mesyuarat Pemuda dan Puteri UMNO Seremban Ahad lalu yang dilaporkan berkata, hanya UMNO-BN yang boleh menjaga kepentingan Melayu dan justeru itu beliau menggesa mereka memberi sokongan kepada parti itu dalam Pilihan Raya Negeri(PRN) akan datang.
Anthony turut meminta Ahli Parlimen Rembau itu bertanya sendiri kepada masyarakat Melayu di Negeri Sembilan sama ada mereka benar-benar berdepan ancaman seperti yang didakwa.
Beliau berkata, DAP sering menjadi sasaran dengan pelbagai tuduhan seumpama itu sedangkan ia tidak benar sama sekali.
"Apa yang orang Melayu terancam di Negeri Sembilan? Tanya orang Melayu di negeri ini, mungkin beliau(Khairy) tidak tahu kerana sudah lama tinggalkan Rembau.
"Biasalah semuanya salah DAP. Yang saya pelik pemimpin-pemimpin yang mainkan sentimen kaum ini, tidak ada skrip atau alasan lain ke selain daripada menyalahkan DAP?," katanya.
Selain itu, Menteri Pengangkutan itu berkata, dalam Kerajaan Madani di peringkat Pusat atau negeri, setiap rakan parti komponen boleh memberikan pandangan, namun keputusan akan dibuat secara kolektif melalui persetujuan bersama.
Justeru ujar beliau, tidak timbul menteri besar atau perdana menteri terpaksa mengikut telunjuk DAP atau mana-mana pihak.
"Sudah tentu kita berbincang apa sahaja dalam gabungan politik dan memberikan pandangan. Tidak akan kita nak duduk membisu saja.
"Kita bagi pandangan, UMNO juga bagi pandangan tetapi akhirnya perdana menteri selaku pengerusi Jemaah Menteri akan membuat pertimbangan kesemua pandangan dan membuat keputusan yang adil, bukannya ikut telunjuk mana-mana pihak, begitu juga Menteri Besar di Negeri Sembilan," katanya.
Justeru, beliau berharap Khairy dapat tampil sebagai pemimpin yang lebih progresif dengan membawa pendekatan politik baharu, bukannya kembali menggunakan sentimen perkauman sebagai modal politik.