SEREMBAN - Sokongan masyarakat India terhadap Pakatan Harapan (PH) kekal kukuh terutama menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 11 Julai ini.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri R Ramanan berkata, keyakinan itu dapat dilihat menerusi sokongan komuniti itu di setiap program yang dianjurkan oleh Kerajaan Madani.
"Saya rasa sokongan kaum India terhadap PH tidak boleh dipertikaikan. Memang kuat.
"Kalau kita lihat setiap program yang kerajaan anjurkan untuk komuniti India, sambutannya sentiasa penuh dan itu bukti mereka berdiri teguh di belakang PH," katanya ditemui pemberita selepa merasmikan Program Celik Madani 2026 dan Dharma Madani Zon Selatan di sini pada Selasa.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook.
Menteri Sumber Manusia itu berkata, masyarakat India di bawah kerajaan Madani tidak pernah dipinggirkan dan ia dibuktikan antaranya menerusi penggunaan sepenuhnya peruntukan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).
Jelasnya, buat pertama kali, keseluruhan peruntukan Mitra telah dimanfaatkan sepenuhnya selama tiga tahun berturut-turut, sekali gus mendorong kerajaan meluluskan tambahan peruntukan kepada RM150 juta.
"Selama 19 tahun, peruntukan itu tidak pernah digunakan sepenuhnya dan telah dipulangkan semula kepada kerajaan. Sebelum ini pemimpin-pemimpin tak kisah dana itu digunakan atau tidak.
"Namun di bawah Kerajaan Madani, peruntukan itu digunakan sepenuhnya selama tiga tahun berturut-turut. Sebab itu Perdana Menteri meluluskan tambahan peruntukan sebanyak 50 peratus kepada RM150 juta," katanya.
Sementara itu, pada majlis berkenaan, beliau turut menyempurnakan penyerahan surat kelulusan Program Bantuan Subsidi Pendidikan Awal Celik Madani 2026 yang memperuntukkan RM10 juta bagi membantu kanak-kanak India berusia empat hingga enam tahun daripada keluarga B40 mendapatkan akses kepada pendidikan awal yang berkualiti.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM8.87 juta telah diluluskan melibatkan 162 tadika swasta di seluruh negara, sekali gus memberi manfaat kepada 3,612 kanak-kanak India.
Turut diadakan penyerahan surat kelulusan Program Dharma Madani Siri 3 membabitkan peruntukan RM3.36 juta kepada 168 rumah ibadat Hindu di seluruh negara.
Penyaluran itu menjadikan keseluruhan peruntukan yang telah diluluskan di bawah Program Dharma Madani berjumlah RM12.54 juta melibatkan 627 rumah ibadat Hindu di seluruh negara.
Ramanan berharap penerima bantuan dapat menyebarluaskan maklumat mengenai inisiatif kerajaan supaya lebih ramai masyarakat India mengetahui manfaat yang disediakan, selain memudahkan kerajaan menilai keperluan menambah peruntukan pada masa hadapan.
"Pertama, wang mesti digunakan dengan betul. Kedua, memang ada keperluan untuk bantuan itu diberikan. Ketiga, saya berharap komuniti India dapat menyebarluaskan maklumat mengenai bantuan yang diterima.
"Kalau tidak, orang tidak tahu dan kerajaan juga sukar menilai sama ada bantuan tambahan diperlukan atau sebaliknya," katanya.