Puad Zarkashi tak cetus gelombang besar

SHAH ALAM – Tindakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang secara terbuka menyokong calon Pakatan Harapan (PH) dijangka hanya memberi kesan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit tanpa memberi impak besar kepada keseluruhan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Penganalisis pilihan raya, Dr G Manimaran berkata, pengaruh Mohd Puad masih mempunyai nilai di kawasan yang pernah diwakilinya, namun kesannya dijangka bersifat setempat kerana UMNO mempunyai kekuatan jentera yang mampu membendung tempias tindakan bekas pemimpin itu.

"Saya rasa kesan tindakan itu akan ada di DUN Rengit. Tetapi untuk mengatakan kesan besar di seluruh negeri mungkin tidak.

"Ini kerana UMNO menggunakan pendekatan mikro atau bersifat fokus lokal dengan menggerakkan jentera dari seluruh negara yang mampu dan akan mengekang tempias tindakan Mohd Puad," katanya.

Sebelum ini, Mohd Puad yang merupakan bekas Speaker DUN Johor secara terbuka menyatakan sokongan kepada calon PH bagi kerusi DUN Rengit, Mohamad Yazid Bakri pada PRN Johor.

Mohd Puad yang keluar daripada UMNO minggu lalu turut menghadiri program PH di Felda Ulu Tebrau, Johor Bahru dengan kehadirannya disambut mesra Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum kedua-duanya berpelukan.

Sementara itu, penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi berpandangan, kesan tindakan Mohd Puad lebih bersifat setempat dan simbolik berbanding mencetuskan gelombang besar di seluruh Johor.

Menurutnya, Mohd Puad bukan tokoh asing di kawasan berkenaan kerana pernah memenangi kerusi DUN Rengit pada PRN 2022, sekali gus masih mempunyai jaringan penyokong, hubungan dengan pemimpin masyarakat dan pengaruh peribadi.

"Sokongan beliau kepada Mohamad Yazid juga dibingkaikan berdasarkan faktor calon tempatan menerusi slogan 'Orang Rengit Jaga Rengit', bukannya semata-mata ajak pengundi menyokong PH.

"Pendekatan ini mungkin lebih mudah diterima oleh pengundi atas pagar atau sebahagian penyokong UMNO yang mempunyai hubungan peribadi dengannya. Dalam pertandingan yang sengit, peralihan beberapa ratus undi pun boleh menjadi penting," kongsinya.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Kalah atau menang PRN Johor, saya tetap Perdana Menteri'

DAP tidak pernah pertikai hak Melayu, kerajaan adil pada semua kaum - PM

Albert Tei mahu lawan Anthony Loke di PRN Negeri Sembilan

'Jangan terkejut apa PH akan tawarkan kepada rakyat Johor'

PH kini antagonis nombor satu PRN Johor?

PH tawar agenda pembangunan mampan, gilap potensi Johor - Amirudin

PKR serah senarai calon bagi PRN Negeri Sembilan - Aminuddin

Nak bertanding di Negeri Sembilan, Anthony ingatkan Albert tukar alamat dahulu

Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Mohd Azhar Abd Hamid pula berkata, pengaruh tersebut dijangka hanya melibatkan kelompok penyokong setia Mohd Puad dan bukannya penyokong tegar UMNO yang lazimnya setia kepada parti.

Beliau berkata, memandangkan DUN Rengit merupakan kerusi marginal yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru, perubahan kecil dalam corak pengundian tetap boleh mempengaruhi keputusan.

"Impaknya ada tetapi tidak begitu ketara," katanya.