Pencapaian kerajaan Johor kekuatan 56 calon BN

PONTIAN – Rekod pencapaian Kerajaan Johor sepanjang tempoh empat tahun, dua bulan dan 16 hari menjadi faktor utama yang mampu meyakinkan rakyat untuk terus memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Ir Hasni Mohamad berkata, pencapaian kerajaan negeri sepanjang tempoh tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat, malah menjadi kekuatan kepada semua 56 calon BN yang bertanding dalam pilihan raya kali ini.

Menurutnya, setiap calon membawa bersama keyakinan berasaskan prestasi pentadbiran kerajaan negeri yang telah dibuktikan sepanjang penggal lalu.

"Walaupun setiap calon mempunyai cabaran masing-masing, saya percaya mereka tidak bergerak bersendirian kerana mereka turut membawa rekod pencapaian Kerajaan Johor sepanjang empat tahun, dua bulan dan 16 hari.

"Rekod inilah yang menjadi kekuatan kepada calon-calon kita untuk bertemu rakyat dan memohon mandat bagi meneruskan agenda pembangunan negeri.

"Saya tidak nampak sebab mengapa kita tidak boleh mencapai kejayaan dalam PRN kali ini sekiranya rakyat terus menilai berdasarkan prestasi dan pencapaian yang telah ditunjukkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Bilik Gerakan Utama (BGU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut di Parit Ismail pada malam Isnin.

Dalam pada itu, Hasni berkata, beliau menyerahkan obor kepimpinan DUN Benut kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Sumali Reduan selepas mewakili kawasan itu selama empat penggal.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berharap pengundi Johor membuat pilihan yang tepat pada hari pengundian dengan mengambil kira rekod pentadbiran kerajaan negeri, bukannya dipengaruhi sentimen politik semata-mata.

Beliau turut mengingatkan rakyat supaya tidak membuat kesilapan yang boleh menjejaskan kesinambungan kestabilan politik dan pembangunan negeri.

"Yang penting, jangan ulangi kesilapan yang sama. Nilailah berdasarkan prestasi, kestabilan dan apa yang telah berjaya dilaksanakan untuk rakyat Johor," katanya.