SHAH ALAM - Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 menyaksikan strategi berbeza Perikatan Nasional (PN) apabila mengumumkan hanya bertanding 33 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ini bermakna, pengundi PN tetap perlu menunaikan tanggungjawab memangkah kertas undi dengan memilih calon gabungan parti politik lain.
Tanpa calon PN, sebanyak 120,298 undi yang diperoleh PN pada 2022 di 23 kerusi itu menjadi elemen ‘undi terapung’ untuk rebutan utama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Tambahan pula, terdapat seramai 61,450 pengundi baharu di kesemua kerusi terbabit.
Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub, daripada keseluruhan undi diperoleh PN dianggarkan 19 peratus terdiri daripada ahli Pas iaitu sebanyak 22,851 undi.
Beliau menganggarkan 25 hingga 30 peratus pula merupakan pengundi penyokong Pas yang bukan ahli parti.
**media[3573499]**
“Tidak semua undi PN boleh dianggap undi Pas kerana sebahagiannya datang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pengundi muda, pengundi protes, pengundi atas pagar dan pengundi yang ketika itu menolak BN atau PH.
“Oleh itu, angka yang paling munasabah ialah sekitar 28 peratus iaitu kira-kira 33,000 hingga 36,000 undi PN pada 2022 di 23 kerusi tersebut boleh dianggap sebagai pengundi yang cenderung kepada Pas atau naratif Islam Melayu PN,” katanya kepada Sinar Harian.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Kalah atau menang PRN Johor, saya tetap Perdana Menteri'
DAP tidak pernah pertikai hak Melayu, kerajaan adil pada semua kaum - PM
Albert Tei mahu lawan Anthony Loke di PRN Negeri Sembilan
Ujar beliau, tiada jaminan semua undi Pas itu akan beralih ke BN meskipun Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengarahkan ahlinya berbuat demikian.
Mohammad Tawfik memberitahu, dianggarkan hanya 56,535 undi iaitu gabungan ahli Pas dan bukan ahli parti yang benar-benar berpotensi mengundi BN.
Selebihnya, kata beliau, kira-kira 63,000 undi berisiko hilang atau beralih ke PH terutama di kawasan bandar, sekali gus membuka ruang Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP atau Parti Amanah Negara (Amanah) merampas kerusi berkenaan.
Berdasarkan rekod 2022, PH memperoleh 241,071 undi di 23 kerusi itu.
“Dianggarkan 10 hingga 12 peratus merupakan kelompok pengundi reformis, muda, bandar serta penyokong gaya politik bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli.
“Jika diambil angka munasabah median iaitu 11 peratus, jumlahnya sekitar 26,000 undi.
“Tetapi risiko PH hilang undi tidak semestinya sebesar angka itu berikutan sebahagian penyokong Rafizi masih akan mengundi PH kerana faktor parti, calon atau sentimen menolak BN-PN,” ujarnya.
Beliau turut menganggarkan risiko lebih realistik ialah hanya sekitar empat hingga enam peratus terutama jika berlaku rasa tidak puas hati atau kadar keluar mengundi yang rendah seperti 2022, iaitu sebanyak 54 peratus.
Sementara itu, Mohammad Tawfik berpandangan, pengundi calon Gerakan yang mewakili PN di kerusi Yong Peng dan Bukit Batu pada 2022 cenderung untuk mengundi PH kali ini.
“Yong Peng mempunyai 970 pengundi baharu menjadikan PH mempunyai ruang untuk menarik sebahagian pengundi Cina dan India yang sebelum ini memilih Gerakan.
“Namun, faktor penyandang, kekuatan jentera tempatan dan pengaruh MCA masih memberikan kelebihan kepada BN untuk mempertahankan dua kerusi ini,” ujarnya.
Di Bukit Batu pula, PH menang tipis dengan majoriti hanya 137 undi berbanding BN, sementara Gerakan memperoleh 3,989 undi dan pada kali ini, kerusi itu merekodkan pertambahan 3,726 pengundi baharu.
“Kalau terdapat jumlah besar pengundi bukan Melayu yang sebelum ini memilih Gerakan bergerak kepada PH, gabungan itu boleh mempertahankan kerusi ini.
“Tetapi jika undi Melayu-Pas dan jentera MIC-BN bergerak dengan aspirasi sama, Bukit Batu kekal sebagai kerusi marginal,” ujarnya.
Berdasarkan pola sokongan semasa, beliau menjangkakan lima kerusi kekal menjadi kubu relatif PH iaitu Bentayan, Penggaram, Mengkibol, Skudai dan Senai kerana undi diperoleh jauh lebih tinggi berbanding pesaing lain.
“Skudai dan Senai pula kekal kuat kerana rekod undi PH yang tinggi serta profil pengundi bandar dan campuran.
“Yong Peng juga berpotensi jika PH berjaya menarik pengundi Cina dan India yang sebelum ini memilih Gerakan, di samping meningkatkan sokongan pengundi baharu,” ujarnya lagi.
Kempas, Pekan Nanas boleh cipta kejutan
Tambah beliau, calon PH untuk kerusi Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik berpotensi menang berdasarkan perkembangan kempen sepanjang seminggu lalu.
Katanya, bekas Menteri Pendidikan itu memiliki beberapa kelebihan termasuk imej sebagai antara wajah utama PH-PKR di peringkat Persekutuan dan kebolehan berkomunikasi dalam bahasa Mandarin.
“Berdasarkan pecahan undi di DUN Puteri Wangsa, pengundi Cina di kawasan tersebut ialah 51.6 peratus, Melayu dengan 36.3 peratus dan India 9.9 peratus.
“Jadi saya lihat beliau mampu menarik sokongan bukan sahaja kelompok pengundi Melayu, malah latar belakang dan nilai tambah yang ada padanya juga mampu menarik sokongan pengundi Cina walaupun berhadapan saingan lima penjuru,” katanya.
Beliau berpandangan, beberapa kerusi seperti Kempas dan Pekan Nanas berpotensi mencipta kejutan sekiranya berlaku gelombang besar keluar mengundi melebihi 65 peratus, termasuk kepulangan sebahagian daripada kira-kira 300,000 anak perantau.
Katanya, berdasarkan data semasa, kedua-dua kerusi itu masih lebih sesuai diklasifikasikan sebagai kerusi mencabar berbanding sasaran utama.
Berdasarkan data mengikut anggaran peratusan peralihan undi Pas dan penyokong Rafizi itu, BN dijangka menang di 15 kerusi apabila dilihat berpotensi merampas dua kerusi dimenangi PH iaitu Tangkak serta Bukit Batu.
Ia mengambil kira faktor penyandang kerusi Tangkak, Ee Chin Li (DAP) yang dicalonkan sekali lagi bagi mempertahankan kerusi itu selepas memperoleh majoriti tipis sebanyak 372 undi pada 2022 berbanding 5,077 undi (2018) dan 1,537 undi (2013).
Kerusi Bukit Batu turut merekodkan majoriti tipis 137 undi pada 2022 dan penyandangnya, Arthur Chiong Sen Sern daripada PKR dicalonkan kembali tahun ini.
Pada ketika itu, Arthur menang dalam saingan empat penjuru dengan memperoleh 9,439 undi manakala BN (9,302 undi), PN (3,989 undi) dan Parti Warisan sebanyak 1,349 undi.
Kerusi lain BN dijangka mempertahankan kemenangan ialah Buloh Kasap, Bekok, Yong Peng, Parit Yaani, Machap, Mahkota, Tanjung Surat, Larkin, Kempas, Bukit Batu, Benut, Pulai Sebatang, Pekan Nanas dan Kukup.