Berbalas serangan untuk tonjol kekuatan

SHAH ALAM - Berbalas kritikan antara pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak menggambarkan sepenuhnya keretakan dalam kerjasama Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Profesor Madya Dr Mashitah Mohd Udin berkata, situasi itu lebih kepada realiti persaingan politik di lapangan apabila setiap parti berusaha menonjolkan kekuatan masing-masing bagi meraih sokongan pengundi.

"Sebab itu kita melihat pemimpin parti saling mengkritik, malah ada kalanya menggunakan bahasa yang agak keras di pentas ceramah.

"Penilaian sebenar hanya boleh dibuat selepas pilihan raya iaitu sama ada hubungan antara parti-parti tersebut kembali stabil dan mereka terus bekerjasama," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Kalah atau menang PRN Johor, saya tetap Perdana Menteri'

DAP tidak pernah pertikai hak Melayu, kerajaan adil pada semua kaum - PM

Albert Tei mahu lawan Anthony Loke di PRN Negeri Sembilan

'Jangan terkejut apa PH akan tawarkan kepada rakyat Johor'

PH kini antagonis nombor satu PRN Johor?

PH tawar agenda pembangunan mampan, gilap potensi Johor - Amirudin

PKR serah senarai calon bagi PRN Negeri Sembilan - Aminuddin

Nak bertanding di Negeri Sembilan, Anthony ingatkan Albert tukar alamat dahulu

Beliau berkata, retorik kempen perlu dibezakan daripada realiti pentadbiran kerajaan.

"Selagi parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan masih boleh duduk semeja, membuat keputusan bersama dalam Kabinet dan mengekalkan kerjasama di Parlimen, kritikan ketika berkempen tidak semestinya menunjukkan keretakan yang serius," katanya.

Mashitah turut mengingatkan semua pimpinan parti supaya mengawal nada serangan politik agar tidak menjejaskan hubungan antara rakan dalam kerajaan selepas pilihan raya.

"Politik mungkin memerlukan persaingan, tetapi pentadbiran pula memerlukan kepercayaan dan kompromi," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik, Muhammad Afifi Abdul Razak berkata, situasi itu dikenali dalam sains politik sebagai multi-level coalition incongruence iaitu situasi apabila parti yang bekerjasama di peringkat Persekutuan menjadi pesaing di peringkat negeri.

Katanya, keadaan tersebut berlaku kerana logik perkongsian kuasa dalam kerajaan berbeza dengan strategi memenangi pilihan raya.

"Ini lebih kepada fenomena kempen di lapangan, bukan petanda muktamad keretakan Kerajaan Perpaduan kerana BN dan PH bertanding penuh di semua 56 kerusi PRN Johor tanpa pakatan pilihan raya.

"Apabila dua parti bersaing untuk undi yang sama tanpa perkongsian kerusi, kritikan sengit di pentas ceramah adalah lumrah dan dijangka, bukan bukti pakatan Pusat sudah retak," jelasnya.

Muhammad Afifi berkata, retorik kempen itu berpotensi berubah menjadi keretakan sebenar sekiranya serangan politik mula menjurus kepada persoalan terhadap legitimasi kepimpinan Perdana Menteri atau kedudukan kerajaan Pusat.

"Malah sudah ada laporan mengenai kemungkinan BN keluar daripada Kerajaan Perpaduan menjelang PRU16 jika ia menang besar di Johor tanpa bantuan PH.

"Kesimpulannya, apa yang berlaku selepas 11 Julai, itulah penanda sebenar. Kita mesti faham, dalam politik segalanya mungkin berlaku," ujarnya.