Seminggu terakhir penentu nasib PH

SELEPAS menjadikan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai sasaran utama kempen, Pakatan Harapan (PH) kini mengubah rentak dengan mempertaruhkan manifesto sebagai senjata utama untuk memenangi hati pengundi.

Peralihan strategi itu hadir ketika kempen memasuki minggu terakhir menjelang PRN Johor, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada tawaran baharu itu masih sempat mempengaruhi pengundi atau sudah terlambat untuk mengubah kecenderungan mereka.

Pada peringkat awal kempen, PH lebih memberi tumpuan kepada serangan terhadap kepimpinan Onn Hafiz bagi membentuk persepsi bahawa BN Johor terlalu bergantung kepada personaliti beliau.

Bagaimanapun, naratif tersebut dilihat tidak memberikan impak besar apabila kebanyakan isu yang dibangkitkan berjaya dijawab oleh BN, sekali gus mengembalikan fokus kepada rekod pentadbiran kerajaan negeri.

Ketua Penyelidik O2 Research, Anis Anwar Suhaimi berkata, setakat ini, serangan tersebut tidak sepenuhnya berjaya melemahkan BN secara substantif.

"Dalam politik pilihan raya, serangan hanya memberi kesan besar jika pihak yang diserang gagal menjawab, lambat menjawab atau kelihatan defensif.

"Sebaliknya BN berjaya mengembalikan perbahasan kepada prestasi kerajaan negeri, pelaburan, peluang pekerjaan, pembangunan dan kestabilan," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, PH kini dilihat cuba mengubah fokus kempen dengan mengetengahkan tawaran kepada rakyat menerusi manifesto.

Bagaimanapun, cabaran terbesar PH ialah manifesto itu hanya diperkenalkan selepas hampir seminggu tempoh berkempen.

Menurut Anis, dari sudut komunikasi politik, manifesto PH mempunyai kelebihan kerana disampaikan dalam bahasa yang mudah difahami serta menyentuh isu yang dekat dengan kehidupan rakyat.

Jelasnya, tawaran seperti skim kesihatan, rumah pertama, dana anak muda, dana perusahaan kecil dan sederhana, pekerjaan bergaji tinggi, pengangkutan awam dan isu rentas sempadan merupakan perkara yang mudah difahami dan diingati pengundi.

"Manifesto PH cuba membawa mesej bahawa kemajuan Johor bukan sekadar diukur melalui pelaburan atau projek mega tetapi perlu diterjemahkan kepada manfaat yang boleh dirasai rakyat.

"Dalam bahasa mudah, mereka cuba menjawab persoalan, jika Johor semakin maju, apa yang saya dapat? Naratif ini menghubungkan agenda besar seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), ekonomi digital dan pelaburan dengan kehidupan harian rakyat," katanya.

Namun, beliau berkata, cabaran utama PH bukan memastikan pengundi mengingati manifesto itu, sebaliknya mempercayai bahawa ia benar-benar boleh dilaksanakan.

Jelasnya, banyak tawaran besar memerlukan penjelasan lanjut termasuk sumber pembiayaan, syarat kelayakan penerima dan mekanisme pelaksanaannya.

"Di sinilah BN mempunyai kelebihan kerana manifesto mereka dilancarkan lebih awal dan dibina atas naratif kesinambungan pentadbiran," ujarnya.

Beliau berkata, meskipun banyak isu yang dibawa PH turut disentuh BN seperti perumahan, pekerjaan, TVET, PKS, pengangkutan dan ekonomi bernilai tinggi, perbezaan utama terletak pada cara PH membingkaikan tawaran tersebut.

"PH cuba membawa mesej bahawa hasil pembangunan negeri mesti sampai ke poket rakyat melalui skim kesihatan, bantuan rumah pertama, dana anak muda, dana PKS, pas pengangkutan, program balik Johor, taska di tempat kerja dan sasaran pekerjaan bergaji tinggi.

"Itulah identiti yang cuba dibina PH di minggu-minggu terakhir kempen ini," katanya.