PRN Johor: Anwar perhebat momentum kempen PH, gempur lapan DUN hari ini

JOHOR BAHRU - Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad memperhebat momentum kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menerusi siri jelajah padat dengan lapan program di kawasan di utara negeri ini bagi memperkukuh dukungan rakyat terhadap calon serta jentera gabungan itu.

Menerusi hantaran di laman Facebook beliau, jelajah hari ini menyaksikan Perdana Menteri menyantuni pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang, Senggarang, Semerah, Bukit Naning, Pemanis, Gambir, Serom serta di kawasan Palong Timur di bawah DUN Buloh Kasap.

Anwar memulakan agenda seawal 8.55 pagi menerusi program 'PMX Santai Sarapan Bersama Masyarakat DUN Layang-Layang' di Warung Pak Din, Kampung Sahri, di Simpang Renggam sebelum dijadual menghadiri Majlis Ramah Mesra di DUN Senggarang di Batu Pahat pada 10 pagi.

Beliau seterusnya dijadual menyertai Kenduri Rakyat di Vila Kemboja, Semerah di Batu Pahat pada 11 pagi diikuti program 'Temu Anwar' serta Pelancaran Sukarelawan DUN Bukit Naning di sebuah restoran di Muar pada 12.15 tengah hari.

Pada sebelah petang, Anwar dijadual menghadiri Jelajah Harapan Felda Bersama PMX di Dataran Putra Palong Timur 2 pada 3.10 petang, diikuti Sesi Ramah Mesra Bersama PMX DUN Pemanis di Kampung Jawa, DUN Pemanis, di Segamat pada 5 petang.

Siri jelajah itu diteruskan pada sebelah malam dengan Sesi Ramah Mesra Bersama PMX DUN Gambir di Medan Selera Sin Tian Di, Bukit Gambir pada 8 malam.

Anwar dijadual mengakhiri program menerusi Jelajah Johor Ke Depan, Undi Harapan DUN Serom di pekarangan Pasaraya Mega, Sungai Mati, di Tangkak pada 9 malam.

Pada Sabtu, Anwar merancakkan kempen yang kini memasuki minggu kedua menerusi siri jelajah padat membabitkan tujuh program di sekitar bandar raya ini.

Pada PRN kali ini, PH meletakkan calon di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) merangkumi 20 calon PKR, 19 calon Amanah dan 17 calon DAP.

Secara keseluruhan, PRN Johor menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai. - Bernama