JOHOR BAHRU – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mencuri perhatian apabila hadir program Dialog Terbuka Belia yang dihadiri Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Felda Ulu Tebrau, malam Sabtu.
Ketibaan Mohd Puad pada program itu disambut mesra oleh Perdana Menteri yang bersalaman sebelum kedua-duanya berpelukan sebaik Anwar tiba kira-kira jam 9.40 malam.
Mohd Puad berkata, kehadirannya adalah bagi memenuhi jemputan seorang rakan selain menyatakan sokongan kepada calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik.
Terdahulu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu mengumumkan sokongan kepada calon PH, Mohamad Yazid Bakri yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit menerusi poster yang di muat naik di laman Facebooknya.
Sebelum ini, Mohd Puad mengumumkan keluar daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta pada 25 Jun lalu.
Setiausaha Agung, Asyraf Wajdi Dusuki kemudian mendakwa Mohd Puad pernah mengugut untuk keluar parti dan mengkritiknya secara terbuka jika anaknya tidak dicalonkan bagi kerusi Rengit.