Siapa beri lebih kepada Johor?

SHAH ALAM – Persaingan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kini memasuki fasa yang lebih tertumpu kepada tawaran dasar apabila dua gabungan utama, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), masing-masing tampil dengan pendekatan berbeza untuk memenangi keyakinan pengundi.

BN mempertaruhkan kesinambungan pentadbiran menerusi manifesto 64 Tekad berteraskan enam teras utama, manakala PH tampil dengan manifesto ‘Johor Untuk Semua’ yang mengandungi 10 tawaran utama serta lima Inisiatif Pencetus Perubahan, dengan kedua-duanya memberi penekanan kepada aspek pekerjaan, perumahan, pendidikan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

**media[3570822]**

Jika dilihat daripada nilai tawaran, manifesto PH mengemukakan beberapa sasaran berskala besar termasuk Skim Kesihatan Johor sehingga RM100,000 setahun, pembinaan 80,000 rumah mampu milik, Dana Anak Muda Johor RM500 juta, dana RM1 bilion kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta sasaran mewujudkan 250,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi.

Sebaliknya, BN memberi penekanan kepada kesinambungan dasar sedia ada melalui pengukuhan Bantuan Kasih Johor (BKJ), Dana Perumahan Johor RM200 juta, Dana Pendidikan Orang Muda Johor RM100 juta, pemerkasaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta sasaran menyediakan 200,000 peluang pekerjaan termasuk 100,000 pekerjaan bergaji premium.

Perbezaan itu memperlihatkan dua pendekatan berbeza dalam menawarkan hala tuju pembangunan Johor, dengan BN menonjolkan rekod pentadbiran dan kesinambungan dasar, manakala PH memilih pendekatan yang lebih bercita-cita tinggi menerusi pelbagai sasaran kuantitatif dan inisiatif baharu.

Penganalisis politik, Dr Mohamad Hafis Amat Simin berpandangan kemampuan melaksanakan manifesto akan menjadi ukuran utama pengundi, bukan sekadar nilai atau jumlah tawaran yang diumumkan.

**media[3570825]**

Beliau berkata, manifesto PH kali ini menawarkan agenda yang lebih bercita-cita tinggi berbanding pendekatan yang lazim diketengahkan dalam pilihan raya negeri kerana sebahagian besar tawarannya melibatkan transformasi berskala besar dalam aspek ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, tawaran seperti Dana Anak Muda Johor, skim kesihatan sehingga RM100,000 setahun, pembinaan rumah mampu milik dan dana RM1 bilion kepada PKS memberi gambaran bahawa PH ingin membawa naratif perubahan yang lebih besar berbanding sekadar meneruskan dasar sedia ada.

“Namun, persoalan utama bukanlah sama ada manifesto itu menarik atau tidak, sebaliknya sejauh mana ia mampu dilaksanakan. Hampir semua tawaran utama memerlukan komitmen kewangan yang besar, perancangan yang rapi serta kerjasama erat antara kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan dan sektor swasta,” katanya.

**media[3570821]**

Sehubungan itu, Mohamad Hafis berkata, pelaksanaan manifesto bergantung kepada keupayaan fiskal negeri, pertumbuhan ekonomi, kemasukan pelaburan dan kecekapan pentadbiran.

Beliau berkata, dalam landskap politik semasa, pengundi semakin matang dan kritikal apabila mereka bukan lagi hanya menilai nilai sesuatu tawaran, sebaliknya mahu mengetahui bagaimana pelan pelaksanaan, sumber pembiayaan dan garis masa yang jelas.

Menurutnya, naratif BN lebih berteraskan kestabilan dan kesinambungan pembangunan negeri tanpa gangguan, manakala PH pula memilih strategi yang lebih berani dengan menawarkan pembaharuan berskala besar.

Beliau berkata, pendekatan PH berpotensi menarik perhatian pengundi yang mahukan perubahan, namun pada masa sama memerlukan penjelasan lebih terperinci mengenai mekanisme pelaksanaannya agar tidak dilihat sekadar janji pilihan raya.

“Bagaimanapun, isu paling besar dalam PRN Johor kali ini mungkin bukan manifesto semata-mata, tetapi tahap keterujaan rakyat terhadap pilihan raya itu sendiri.

“Dalam PRN Johor kali ini, parti yang berjaya menghubungkan manifesto dengan keyakinan terhadap keupayaan mentadbir dan menggerakkan penyokong keluar mengundi berkemungkinan mempunyai kelebihan lebih besar daripada parti yang hanya menawarkan janji paling menarik,” katanya.

Pada PRN Johor kali ini, BN-PH bertembung di semua 56 kerusi DUN termasuk pertandingan satu lawan satu di 14 DUN.