PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor kali ini berlangsung dalam suasana yang jauh berbeza berbanding PRN 2022.
Jika empat tahun lalu kempen disifatkan cukup hangat dengan pertembungan sengit antara parti-parti utama, kali ini rentak kempen dilihat lebih sederhana, terkawal dan kurang beremosi.
Perubahan itu banyak dipengaruhi landskap politik semasa yang semakin stabil, khususnya selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Di Johor, kerajaan negeri masih diterajui BN, manakala di peringkat pusat pula BN dan PH berada dalam satu gabungan pentadbiran.
Situasi ini secara tidak langsung mengubah dinamik kempen apabila parti-parti utama dilihat lebih berhati-hati dalam pendekatan masing-masing.
Dari sudut geografi politik, pertandingan juga memperlihatkan corak yang berbeza mengikut kawasan dan demografi pengundi.
Di bahagian selatan Johor, pertandingan lebih tertumpu kepada BN dan PH yang terus mendominasi persaingan di kawasan bandar.
Kawasan seperti Johor Bahru, Iskandar Puteri, Skudai, Kulai, Kempas, Permas dan Pasir Gudang kekal sebagai kubu tradisi kedua-dua gabungan tersebut.
Di kawasan ini, kempen lebih bersifat terbuka dengan tumpuan kepada isu pembangunan, kos sara hidup dan peluang pekerjaan.
Sementara itu, di bahagian utara Johor, PN dijangka memberi saingan lebih sengit berbanding kawasan selatan.
Gabungan itu mempunyai pengaruh yang lebih ketara di beberapa kawasan seperti Pagoh dan Bukit Kepong, khususnya di kawasan luar bandar.
Parti-parti kecil seperti Parti Bersatu Malaysia (Bersama), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muda dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) turut mengambil bahagian.
Walaupun bertanding di jumlah kerusi yang terhad, kehadiran mereka tetap memberi warna dalam landskap demokrasi negeri.
Di banyak kawasan, warna biru BN dan merah PH masih mendominasi ruang kempen, terutama di kawasan bandar utama.
Antara kawasan tersebut termasuk Tiram, Puteri Wangsa, Iskandar Puteri, Larkin, Kempas, Johor Jaya dan Permas yang menyaksikan persaingan lebih seimbang.
Namun di kawasan luar bandar, persaingan tetap sengit walaupun kebanyakan kerusi sebelum ini disandang BN, dengan PH juga cuba menembusi pengaruh sedia ada.
Dalam masa yang sama, medan baharu yang semakin dominan ialah perang media sosial yang kini menjadi komponen penting kempen politik.
Parti-parti politik giat menggunakan platform digital seperti Facebook, TikTok, Instagram dan X untuk mendekati pengundi, khususnya golongan muda.
Kandungan kempen semakin pelbagai termasuk video pendek, siaran langsung ceramah, poster infografik serta naratif politik yang disebarkan secara pantas.
Dengan hari pengundian berbaki kira-kira seminggu lagi, kempen dijangka terus rancak dalam beberapa hari akan datang.
Kehadiran nama-nama besar seperti Presiden PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dijangka memberi impak kepada momentum kempen.