'BN-Pas hidupkan semula PH'

ARAHAN Pas supaya penyokongnya mengundi calon Barisan Nasional (BN) di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan sahaja mengubah percaturan blok pengundi Melayu, malah dilihat mampu mempengaruhi corak pengundian masyarakat bukan Melayu, khususnya pengundi Cina.

Perkembangan itu mencetuskan persoalan sama ada wujud kebimbangan dalam kalangan pengundi bukan Melayu terhadap naratif kerjasama BN-Pas sehingga mendorong mereka kembali memberikan sokongan lebih besar kepada Pakatan Harapan (PH).

Secara matematiknya, arahan rasmi Pas dalam bentuk kerjasama tidak rasmi bersama BN bertujuan mengelakkan perpecahan undi Melayu tegar agar tidak berpindah kepada PH atau parti-parti alternatif.

Langkah itu dilihat mampu mengukuhkan dominasi blok nasionalis Melayu di kawasan luar bandar dan pinggir bandar Johor.

Bagaimanapun, penganalisis politik yang juga Felo Penyelidik Ilham Centre, Mujibu Abd Muis melihat strategi tersebut bertindak sebagai ‘pedang bermata dua’.

“Kerjasama tidak rasmi ini boleh menghantar isyarat yang membimbangkan kepada pengundi bukan Melayu, khususnya masyarakat Cina.

“Walaupun setakat ini tiada kenyataan rasmi BN untuk menerima atau mengakui perkara ini, kalaupun BN dilihat menerima atau merestui dukungan Pas sama ada secara langsung atau tidak langsung demi kelangsungan kuasa.

“Ia secara tidak langsung merobek keyakinan pengundi bukan Melayu terhadap janji kesederhanaan pentadbiran yang dilaungkan BN," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, secara teorinya situasi itu mampu mencetuskan keresahan politik dalam kalangan pengundi Cina.

Jelasnya, pengundi bukan Melayu di Johor terkenal dengan corak pengundian yang mementingkan kestabilan ekonomi, kebebasan sosial serta penolakan terhadap retorik 3R.

“Penjajaran BN-Pas ini memberi talian hayat dan naratif kempen yang sangat kuat kepada PH. PH boleh menggunakan sentimen ini untuk memotivasikan semula pengundi Cina yang sebelum ini mungkin hambar atau mengambil sikap atas pagar.

“Kempen PH akan berpusat kepada naratif bahawa mengundi BN bermakna membawa masuk pengaruh Pas ke dalam koridor pentadbiran Johor,” jelasnya.

Menurut Mujibu, keadaan itu dijangka mendorong pengundi Cina melakukan pengundian defensif dengan memusatkan semula sokongan kepada PH sebagai benteng penahan.

Malah katanya, sentimen sama tidak mustahil turut memberi kesan secara tidak langsung kepada pengundi Melayu muda yang lebih progresif dan tidak konservatif.

“Sentimen ini juga boleh mendorong mereka kembali memberikan sokongan lebih besar kepada PH. Saya fikir kita tidak boleh melihat dinamika ini dalam kerangka dua dimensi iaitu PH lawan BN sahaja,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau berkata, kehadiran Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang diterajui bekas pemimpin PH turut menambah rencam landskap politik Johor.

Katanya, parti itu dilihat agresif mengetengahkan isu-isu spesifik melibatkan masyarakat Cina.

“Di satu sudut, jika pengundi Cina yang kecewa dengan PH beralih kepada Bersama, ia boleh memecahkan undi bukan Melayu di kawasan campuran dan beri kelebihan semula kepada BN atau PN.

“Namun, sekiranya kebimbangan terhadap gandingan BN-Pas lebih besar mengatasi kekecewaan terhadap PH, pengundi Cina dijangka menolak parti serpihan seperti Bersama demi memastikan undi mereka tidak dibazirkan serta PH kekal menang,” ujar beliau.

Perkembangan itu memperlihatkan bahawa selain persaingan tradisional antara BN, PH dan PN, pola pengundian masyarakat Cina dijangka menjadi antara faktor penting yang menentukan keputusan di beberapa kerusi campuran pada PRN Johor.

Sekiranya sentimen terhadap kerjasama tidak rasmi BN-Pas terus menjadi isu sepanjang tempoh berkempen, ia boleh membentuk semula kecenderungan pengundi bukan Melayu yang sebelum ini dilihat tidak begitu teruja untuk keluar mengundi, sekali gus memberi kelebihan kepada PH di kawasan-kawasan tertentu.